BRIGHTON, 23 FEB – Pengurus Crystal Palace, Roy Hodgson mempertahankan gaya permainannya selepas mencatatkan kemenangan 2-1 dalam pertemuan derbi di Brighton kelmarin hasil jaringan voli cantik Christian Benteke pada minit ke-95.
The Eagles hanya membuat dua sentuhan di dalam kotak penalti Brighton, tetapi menjaringkan kedua-dua percubaan berbanding The Seagulls yang membuat 25 percubaan dan hampir 75 peratus menguasai bola namun tidak mempengaruhi perlawanan.
“Kita sangat bergantung pada statistik sejak kebelakangan ini. Perlawanan ditentukan oleh jaringan. Jaringan adalah soal bagaimana sempurna kita mengambil peluang dan mempertahankannya,” kata Hodgson.
“Sehingga ada pemberian sepakan penjuru dan sentuhan di dalam kotak penalti, sangat penting kami kekal berfikir bahawa keputusan ditentukan oleh jaringan dan gol yang kita tidak patut bolosi. Saya tidak mendapat kepuasan apabila kami kalah dan kami mempunyai lebih banyak sepakan penjuru atau sentuhan dalam kotak penalti mereka.”
Brighton masih bergelut berada di kedudukan tiga terbawah selepas perlawanan yang merumuskan persembahan pasukan Graham Potter pada musim ini.
“Itu lumrah dalam liga, sangat menghukum, kami telah melakukan banyak usaha tetapi ia jelas sekali tidak memadai,” kata Potter.
“Pemain-pemain melakukan segala-galanya untuk menjaringkan gol, terasa seperti kami sentiasa bermain dalam kotak penalti mereka tanpa menghiraukan untuk bertahan.” Palace bermain tanpa pemain utama, Wilfried Zaha disebabkan kecederaan, tetapi Jean-Philippe Mateta memberikan impak selepas dua kali memulakan perlawanan sejak menyertai kelab secara pinjaman dari Mainz. – AFP
