Monday, June 24, 2024
22.1 C
Brunei

    -

    Hoki Jalanan diperkenalkan di Bandarku Ceria

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Bersempena dengan ulang tahun hubungan diplomatik antara Kanada dan Negara Brunei Darussalam Ke-40, Suruhanjaya Tinggi Kanada mengadakan acara, Hockey Morning @ Bandarku Ceria, yang berlangsung di Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Hadir untuk menyokong acara berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, pegawai dan kakitangan Suruhanjaya Tinggi Kanada di Negara Brunei Darussalam serta para pengunjung ke Bandarku Ceria.

    Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Ambra Dickie berkata bahawa mereka amat gembira untuk mengambil bahagian dalam program Bandarku Ceria serta memperkenalkan Hoki Jalanan (Street Hockey) kepada masyarakat Brunei.

    Hoki Jalanan, jelasnya, merupakan aktiviti yang sering dilakukan oleh kanak-kanak dan orang dewasa di Kanada di mana ia boleh dimain hampir di mana sahaja dengan memerlukan peralataan yang minimum dan menggalakkan akses kepada aktiviti fizikal untuk semua.

    PYT Ambra Dickie berharap permaian yang semakin popular berkenaan akan terus diminati ramai di negara ini serta mungkin dapat diperkenalkan di sekolah-sekolah di seluruh negara.

    Mengulas mengenai hubungan persahabatan 40 tahun antara Brunei dan Kanada, beliau menyatakan bahawa hubungan diplomatik selama 40 tahun antara kedua-dua buah negara berkenaan telah menjadi asas kepada persahabatan berkekalan berkenaan serta menyatakan acara yang diadakan itu, mengingatkan kita bahawa sukan dan budaya merupakan sebahagian daripada diplomasi yang penting dan menyeronokkan.

    Acara berkenaan menyaksikan para penggemar sukan hoki dari seluruh negara mendaftar untuk mengambil bahagian dalam acara pertandingan berpusingan. Sementara itu, terdapat juga pengunjung yang hadir untuk menyertai acara perlawanan persahabatan yang diadakan untuk menguji kemahiran mereka daripada segi serangan dan hantaran.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf (dua kiri) mengikuti aktiviti Hoki Jalanan yang diadakan semasa Bandarku Ceria, di ibu negara, pada hari ini. – Gambar oleh Rafi Rosli
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China, Perancis lancar satelit pantau letupan sinar gamma

    CHINA, 23 JUN – Satelit Perancis-China telah dilancarkan kelmarin di mana ia merupakan misi untuk mencari letupan cahaya terbesar di dunia dalam usaha kerjasama...