Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hoki: Jerman singkir juara bertahan Argentina

    KUALA LUMPUR, 12 DIS – Jerman mara ke separuh akhir selepas menyingkirkan juara bertahan Argentina 2-1 dalam pertarungan suku akhir Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki (JWC) ketujuh di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

    Kemenangan itu sekali gus melunaskan dendam Jerman ke atas pasukan nombor satu dunia itu susulan kekalahan 2-4 pada perlawanan akhir di Bhubaneswar, India 2021.

    Jerman bakal bertemu India Khamis ini, yang menundukkan Belanda 4-3 dalam satu lagi aksi suku akhir.

    Cuaca dingin dan berawan pagi tadi sedikitpun tidak mempengaruhi ‘bahang’ di atas padang dengan Jerman dan Argentina saling berbalas serangan, sebelum pasukan nombor dua dunia Jerman akhirnya menewaskan pertahanan Argentina menerusi pukulan Hugo von Montgelas yang memacu bola meluncur melalui bukaan kaki Joaquin Ruiz pada minit ke-32, justeru mendahului dengan satu gol.

    Tujuh minit kemudian, Jakob Brilla mencetak gol menerusi pukulan sudut penalti namun Argentina berjaya merapatkan jurang dengan gol padang Agustin Bonanno pada minit ke-48. 

    Kapten pasukan Jerman Matteo Poljaric berkata, mereka berjaya menangani power-play dan serangan bertubi-tubi Argentina dengan kerjasama berpasukan dan semangat juang yang tinggi sehingga detik akhir perlawanan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda