KUALA LUMPUR, 13 DIS – Perancis menewaskan Australia 3-2 untuk melayakkan diri ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki (JWC) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil kelmarin.
Pada perlawanan suku akhir kelmarin, Noe Jouin menjaringkan dua gol untuk memberikan inspirasi kepada pemenang pingat gangsa edisi lepas, Perancis untuk bertemu Sepanyol yang menundukkan Pakistan 4-2 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.
Dikenali sebagai ‘Les Blues’, Perancis mempamerkan dominasi mereka apabila Noe menyempurnakan satu pukulan sudut penalti pada minit ke-17 sebelum Gaspard Denis menjaringkan satu gol padang pada minit ke-21.
Noe seterusnya menjaringkan satu lagi gol menerusi pukulan sudut penalti untuk pasukan bimbingan Matthias Dierckens memaksa Australia melakukan beberapa siri serangan sebelum berjaya memecah kebuntuan apabila Cooper Burns menjaringkan dua gol padang pada minit ke-43 dan ke-48.
Sementara itu Sepanyol mengakhiri penantian 18 tahun untuk mara ke separuh akhir JWC selepas menundukkan Pakistan 4-2 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.
Pakistan hanya menunggu selama 12 minit untuk membuka jaringan menerusi gol padang Abdul Hannan Shahid tetapi pasukan Junior Red Sticks berjaya bangkit selepas waktu rehat menerusi pukulan sudut penalti masing-masing oleh Cabre Verdiell Pol pada minit ke-37 dan Aleix Bozal pada minit ke-38.
Sementara itu, Sepanyol yang merupakan pasukan nombor enam dunia terus mencetak gol pada minit ke-41 menerusi gol padang Pablo Espino tetapi Pakistan merapatkan jurang jaringan menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Sufyan Khan pada minit ke-43 sebelum Cabre menyumbat gol keempat menerusi pukulan sudut penalti, dua minit kemudian.
Kapten Sepanyol Andreas Rafi yang gembira selepas pasukannya mara ke separuh akhir berharap momentum kemenangan ini akan juga membawa mereka untuk merangkul kejuaraan JWC. – Bernama
