TOKYO, 19 MAC – Pulau utara Jepun Hokkaido hari ini membatalkan keadaan darurat yang diisytiharkan pada bulan lalu berhubung koronavirus baharu, berkata ia melihat tanda-tanda wabak sedang berkurangan.
Gabenor wilayah Hokkaido mengumumkan langkah kecemasan itu pada 28 Februari, apabila jangkitan di rantau itu meningkat.
Gesaan itu meminta penduduk supaya mengelak perjumpaan yang tidak perlu, walaupun ia tidak mengenakan langkah agresif yang kini dilaksanakan di sebahagian besar kawasan Eropah.
Hampir 20 hari selepas pengumuman itu, terdapat tanda-tanda penularan virus telah berkurangan, kata gabenor Naomichi Suzuki lewat semalam.
“Kami berupaya mengelak situasi yang kami bimbang pada mulanya, ledakan penyebaran jangkitan membawa kepada keruntuhan sistem perubatan dan kegagalan menyelamatkan nyawa,” kata Suzuki pada satu mesyuarat kerajaan Hokkaido.
“Kami akan membatalkan keadaan darurat hari ini seperti yang dijadualkan,” kata beliau.
“Mulai esok, kami akan beralih kepada peringkat baharu,” kata beliau.
Angka terbaharu menunjukkan 154 jangkitan di Hokkaido termasuk enam kematian. Di seluruh negara, Jepun setakat ini mempunyai 914 kes termasuk 31 kematian. – AFP