KUALA LUMPUR, 22 MEI – Pasukan Homebois yang telah melayakkan diri ke peringkat playoff Liga Profesional Malaysia (MPL) berpeluang cerah untuk meraih tiket automatik bagi mewakili negara ke Piala Pertengahan Musim (MSC) dalam Piala Dunia E-sukan 2025 di Riyadh, Arab Saudi Julai ini.
Keyakinan itu disuarakan pengasas Homebois, Nureddy Nursal atau lebih dikenali sebagai Daddyhood selepas pasukannya yang merupakan juara Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) musim ke-12 MPL mara ke peringkat playoff dengan lebih awal iaitu pada minggu keempat.
“Kami ada strategi tertentu untuk melayakkan diri ke Riyadh (MSC). Saya rasa kami berada di landasan yang betul kerana momentum kini memihak kepada kami.
“Namun begitu, segalanya bergantung kepada usaha para pemain,” katanya kepada pemberita malam tadi.
Homebois antara tiga pasukan terawal melayakkan diri ke peringkat playoff edisi ke-15 MPL musim ini selain Selangor Red Giants OG Esport (SRG) dan Monster Vicious (MV) dengan tiga lagi slot akan ditentukan minggu ini.
Pusingan playoff MPL Malaysia akan berlangsung dalam dua fasa, iaitu pada 31 Mei hingga 1 Jun dan 14 hingga 15 Jun.
Dua pasukan yang berjaya ke perlawanan akhir playoff MPL Malaysia layak secara automatik mewakili negara ke MSC 2025. – Bernama
