PARIS, 6 SEPT – Manusia zaman purba sengaja membuat batu-batu menjadi sfera 1.4 juta tahun yang lalu, menurut satu kajian hari ini, walau bagaimanapun untuk tujuan apa orang prasejarah menggunakan bola-bola itu masih menjadi misteri.
Ahli arkeologi telah lama berdebat bagaimana ‘sferoid’ berukuran sebesar bola tenis itu dicipta.
Adakah hominin awal sengaja mengukir batu-batu itu dengan tujuan untuk membuat sfera yang sempurna, atau adakah ia hanya hasil sampingan yang tidak disengajakan akibat berulang kali menghancurkan batu seperti tukul purba?
Penyelidikan baharu yang diketuai oleh Hebrew University of Jerusalem mengesyorkan bahawa nenek moyang kita tahu apa yang mereka lakukan.
Pasukan saintis tersebut memeriksa 150 sferoid batu kapur yang berasal dari 1.4 juta tahun lalu yang ditemui di tapak arkeologi ‘Ubeidiya, di utara Israel.

Dengan menggunakan analisis 3D untuk membina semula geometri batu-batu itu, para penyelidik mendapati bahawa sfera-sfera itu ‘mungkin telah dihasilkan dengan sengaja’.
Hominin awal golongan manusia yang masih belum diketahui keturunannya, telah ‘mencuba untuk mencapai platonik sfera yang ideal”, kata mereka. Semasa sferoid-sferoid itu dibuat, batu-batu tersebut tidak menjadi lebih licin, tetapi menjadi ‘lebih sfera’, menurut kajian itu dalam jurnal Royal Society Open Science.
Ini penting kerana sementara alam semula jadi dapat membuat batu menjadi lebih licin, seperti yang terdapat di sungai, ‘mereka hampir tidak pernah mencapai bentuk sfera yang sebenar’, kata kajian itu.
Julia Cabanas, ahli arkeologi di Muzium Sejarah Semula Jadi Perancis yang tidak terlibat dalam penyelidikan itu, memberitahu AFP bahawa ini bermakna hominin mempunyai idea ‘prasangka mental’ tentang apa yang mereka lakukan. – AFP