KUALA LUMPUR, 31 MEI – Beregu campuran badminton Malaysia, Choong Hon Jian-Toh Ee Wei berjaya merangkul kemenangan ketiga mereka tahun ini setelah menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Austria di Raiffeisen Sportpark di Graz, kelmarin.
Sebelum ini, pasangan muda itu menjuarai Kejohanan Terbuka Poland pada Mac sebelum meneruskan rentak cemerlang dengan menjuarai Kejohanan Antarabangsa Slovenia 2021, minggu lalu. Hon Jian-Ee Wei menewaskan pilihan pertama kejohanan pasangan William Villeger-Sharone Bauer dari Perancis dalam aksi final setelah mencatat kemenangan 16-21, 21-9, 21-19 dalam tempoh 46 minit.
Pasangan beregu lelaki Malaysia, Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri juga menceriakan skuad badminton Malaysia apabila berjaya mengalahkan Lucas Corvee-Ronan Labar dari Perancis dengan keputusan 21-17, 21-15 pada aksi final.
Bagaimanapun, beregu wanita, Anna Ching Yik Cheong-Yap Cheng Wen tewas 11-21, 16-21 kepada pasangan Indonesia Ni Ketut Mahadewi Istarani-Serena Kani. – Bernama