Sunday, November 17, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hon Jian-Haikal pamer peningkatan positif

    KUALA LUMPUR, 19 JUN – Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, mahu gandingan beregu lelaki pelapis dan junior Malaysia mengikuti langkah Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri yang memperagakan aksi baik di beberapa kejohanan sejak kebelakangan ini.

    Beregu muda yang berjaya mara ke separuh akhir Terbuka Australia minggu lepas dan suku akhir Terbuka Thailand bulan lepas dalam empat kejohanan yang disertai sejak Mei menyaksikan mereka mendaki lapan anak tangga untuk menduduki ranking ke-20 dunia, iaitu kedudukan terbaik dalam karier.

    Hon Jian, 23, dan Muhammad Haikal, 21, yang tersingkir pada pusingan kedua Masters Malaysia bulan lepas dan pusingan pertama Terbuka Indonesia awal bulan ini berada pada kedudukan kelima di Malaysia selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik (nombor 5 dunia), Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (13), Man Wei Chong-Tee Kai Wun (16) dan beregu profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (18).

    Rexy melihatnya sebagai perkara yang cukup positif bagi kem negara apabila lebih tiga wakil ABM boleh beraksi di kejohanan tahap tinggi seperti Jelajah Dunia Super 500, 750 dan 1000.

    “Kita kini ada tiga beregu senior dan tiga junior yang mampu beri cabaran dalam kejohanan 500 dan ke atas, persaingan dalam lapangan cukup positif.

    “Kita harapkan beregu junior seperti Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Junaidi-Yap Roy King dan Kang Khai Xing-Aaron Tai juga lebih berusaha (untuk meningkatkan prestasi mereka),” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa sesi latihan di ABM di sini hari ini.

    Rexy berkata pihaknya juga belum membuat keputusan sama ada Hon Jian akan fokus dalam acara beregu lelaki atau beregu campuran apabila menduduki ranking ke-40 beregu campuran dunia menerusi gandingan bersama Go Pei Kee. – Bernama

    Muhammad Haikal Nazri dan Hon Jian ketika menentang rakan senegara Nur Mohd Azriyn Ayub dan Wan Kiong pada perlawanan pusingan 32 sempena Kejohanan Badminton Masters Malaysia Axiata Arena Bukit Jalil pada 21 Mei. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda