Monday, March 17, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

     Honda, Nissan dan Mitsubishi berhenti bincang penggabungan

    TOKYO, 13 FEB – Syarikat pengeluar kereta Jepun Honda, Nissan dan Mitsubishi berkata hari ini bahawa mereka akan hentikan perbincangan mereka untuk penggabungan.

    Mereka bersetuju untuk tamatkan perjanjian mengenai cadangan untuk membina struktur kerjasama, kata kenyataan bersama mereka.

    Honda Motor Co dan Nissan Motor Corp pernah mengumumkan pada bulan Disember lalu bahawa mereka akan mengadakan perbincangan untuk menubuhkan syarikat induk bersama. Mitsubishi Motors Corp kemudiannya juga pernah mempertimbangkan untuk menyertai kumpulan itu.

    Dari awal, usaha itu telah membuat para penganalisis hairan tentang kelebihan mereka, kerana pertindihan barisan model dan kekuatan masing-masing dalam industri yang kian tergugat oleh kedatangan pendatang baharu seperti Tesla dan BYD, serta peralihan daripada enjin pembakaran kepada elektrifikasi.

    Butiran tentang sebab perbincangan yang dihentikan itu tidak dilaporkan serta-merta.

    Honda dan Nissan pada mulanya berkata mereka cuba memuktamadkan perjanjian menjelang Jun dan menubuhkan syarikat induk itu menjelang Ogos.

    Bagaimanapun ketiga-tiga mereka akan terus bekerjasama dalam kenderaan elektrik (EV) dan kereta pintar seperti pemanduan autonomi.

    Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, media Jepun mempunyai pelbagai laporan mengenai rundingan itu terputus, memetik sumber yang tidak dikenali. Ada yang berkata Nissan menolak untuk memegang peranan yang kecil dalam perkongsian dengan Honda.

    Honda pula berada dalam keadaan kewangan yang jauh lebih baik dan akan menerajui pasukan eksekutif bersama. Sementara Nissan melaporkan kerugian bagi suku Julai-September apabila jualan kenderaannya merosot, menyebabkan ia mengurangkan 9,000 pekerjaan.

    Ketua Eksekutif Nissan, Makoto Uchida (kiri) dan  Ketua Eksekutif Honda Toshihiro Mibe semasa sidang akhbar bersama di Tokyo, Jepun, pada 23 Disember. Tiada penggabungan antara Nissan, Honda dan Mitsubishi. – Gambar Fail AP.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda