TOKYO, 20 MEI – Honda mengumumkan hari ini jualan kenderaan elektrik (EV) di Amerika Syarikat (AS) semakin perlahan, mendorong pengeluar automotif Jepun itu membatalkan sasaran sebelumnya, untuk menjadikan penjualan EV sebanyak 30 peratus daripada jumlah jualan global menjelang tahun 2030.
Daripada rancangan asal untuk melabur 10 trilion yen (AS$69 bilion) dalam strategi elektrifikasi sehingga tahun kewangan berakhir pada 2031, Honda kini telah mengurangkan pelaburan tersebut sebanyak 3 trilion yen kepada 7 trilion yen.
Ketua Eksekutif Honda Motor Co., Toshihiro Mibe menyifatkan keputusan itu sebagai ‘peralihan daripada rancangan asal’, sementara menegaskan peralihan jangka panjang ke arah elektrifikasi tetap tidak berubah hanya ditangguhkan ke masa hadapan.
Mibe tidak menyebut nama Presiden AS, Donald Trump dalam kenyataan itu. Namun, dasar Trump berkenaan tarif serta sikap tidak menyokong kenderaan elektrik memaksa pengeluar automotif Jepun untuk segera menyesuaikan diri.
“Persekitaran industri automotif kini berubah dari hari ke hari. Ketidaktentuan dalam persekitaran perniagaan semakin meningkat, khususnya disebabkan oleh kelembapan dalam perkembangan pasaran EV yang dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk perubahan peraturan alam sekitar,” kata Honda dalam satu kenyataan.
Mibe turut menekankan perniagaan motosikal Honda merupakan teras kekuatan syarikat, dengan jualan terus meningkat di India dan penguasaan pasaran global Honda menunjukkan peningkatan yang stabil.
Beliau juga berkata pengeluar automotif yang berpangkalan di Tokyo itu sedang berusaha menggunakan pelbagai teknologi digital untuk memperkukuhkan keselamatan, termasuk termasuk pemanduan bantuan bertujuan untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya kepada sifar, yang merupakan matlamat jangka panjang Honda.
Perbincangan yang bermula akhir tahun lalu untuk menggabungkan operasi Honda dengan pesaing Jepun, Nissan Motor Corp serta Mitsubishi Motors Corp gagal mencapai kesepakatan awal tahun ini.
Mibe memberitahu pemberita rundingan masih berlangsung untuk ketiga-tiga syarikat tersebut bekerjasama membangunkan teknologi berkenaan, tetapi beliau tidak memberikan butiran bila perjanjian akan dicapai. – AP
