BEIJING, 11 JUN – Honduras membuka kedutaan di Beijing hari ini, lapor media negara China, beberapa bulan selepas negara Amerika Tengah itu memutuskan hubungan dengan Taiwan untuk membentuk hubungan diplomatik dengan China.
Menteri Luar China, Qin Gang dan rakan sejawatannya dari Honduras, Enrique Reina mengambil bahagian dalam perasmian kedutaan itu hari ini, kata CCTV rasmi China.
Laporan itu berkata Honduras masih perlu menentukan lokasi tetap kedutaan itu dan akan menambah bilangan kakitangannya.
Qin berikrar bahawa China akan mewujudkan model baharu dengan Honduras dalam bentuk kerjasama mesra antara negara-negara dengan saiz dan sistem yang berbeza, menurut kenyataan Kementerian Luar China.
Lambang hubungan diplomatik kedua-dua pihak yang semakin kukuh itu muncul semasa lawatan enam hari Presiden Honduras, Xiomara Castro ke China.
Honduras menjalin hubungan formal dengan China pada Mac, menjadi yang terbaharu dalam rentetan negara yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Taiwan. China melihat Taiwan yang ditadbir sendiri sebagai wilayah yang memisahkan diri dan akan mengambilnya kembali dengan kekerasan jika perlu, dan melarang rakan-rakanya yang berhubungan diplomatik daripada menjalinkan hubungan rasmi dengan Taipei.
Castro tiba di Shanghai baru-baru ini dalam lawatan pertamanya sejak penubuhan hubungan. Semasa berada di Shanghai, beliau melawat ibu pejabat Bank Pembangunan Baru, sebuah bank yang ditubuhkan oleh negara-negara BRICS, termasuk Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan. Honduras meminta kemasukan ke bank, pejabat Castro tweet, kelmarin. – AP


