Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hong Kong beri ganjaran tangkap aktivis di luar negara

    HONG KONG, 15 DIS – Polis Hong Kong menuduh lima aktivis yang berpangkalan di luar negara melanggar undang-undang keselamatan negara yang keras yang dikenakan oleh Beijing dan menawarkan ganjaran 1 juta dolar Hong Kong (AS$128,000) pada kelmarin untuk maklumat yang membawa kepada setiap penahanan mereka.

    Pemberian itu memperhebatkan lagi tindakan keras kerajaan Hong Kong terhadap pembangkang berikutan protes antikerajaan pada tahun 2019.

    Ramai aktivis pro-demokrasi terkemuka telah ditangkap, disenyapkan atau dipaksa mengasingkan diri selepas pengenalan undang-undang keselamatan pada tahun 2020, dalam hakisan drastik kebebasan yang dijanjikan kepada bekas tanah jajahan British apabila ia kembali ke China pada tahun 1997.

    Kedua-dua kerajaan Beijing dan Hong Kong telah memuji undang-undang keselamatan, mengatakan ia mengembalikan kestabilan kepada bandar separa autonomi China itu.

    Waran tangkap dikeluarkan untuk Johnny Fok dan Tony Choi, yang menganjurkan saluran YouTube yang memfokuskan kepada hal ehwal semasa, dan aktivis pro-demokrasi Simon Cheng, Hui Wing-ting dan Joey Siu.

    Polis enggan menyatakan apa-apa tentang keberadaan mereka, tetapi profil media sosial mereka dan laporan media awal menunjukkan mereka telah berpindah ke Amerika Syarikat (AS) dan Britain.

    Pada bulan Julai, Hong Kong memberi amaran kepada lapan aktivis lain yang kini tinggal di luar negara bahawa mereka akan dikejar seumur hidup dengan habuan yang dikenakan kepada mereka.

    Ia adalah penggunaan hadiah pertama sedemikian di bawah undang-undang keselamatan, dan pengumuman pihak berkuasa mendapat kritikan daripada kerajaan Barat.

    Steve Li, ketua penguasa jabatan keselamatan negara polis, berkata pihak berkuasa telah menerima kira-kira 500 maklumat mengenai lapan orang itu sejak hadiah itu diumumkan. Beliau berkata beberapa maklumat itu berharga tetapi tiada tangkapan dibuat.

    Li berkata lima aktivis yang baru dimasukkan ke dalam senarai orang dikehendaki telah melakukan pelbagai kesalahan termasuk bersubahat dengan kuasa asing dan menghasut untuk berpisah.

    “Mereka semua mengkhianati negara mereka sendiri dan mengkhianati Hong Kong,” katanya pada sidang akhbar. “Selepas mereka melarikan diri ke luar negara, mereka terus terlibat dalam aktiviti yang membahayakan keselamatan negara.” – AP

    Polis Hong Kong mengumumkan senarai baharu lima warga Hong Kong yang mereka mahu tangkap atas dakwaan jenayah keselamatan negara, pada sidang media di Hong Kong, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda