HONG KONG, 5 OGOS- Sebahagian bandar Hong Kong lumpuh akibat banjir hari ini, susulan amaran ribut hujan peringkat tertinggi dikeluarkan buat kali keempat dalam tempoh lapan hari.
Pusat bandar yang juga hab kewangan berkenaan telah menutup beberapa sekolah untuk membuka tempat perlindungan sementara selain beberapa perkhidmatan hospital dilaporkan turut terjejas.
Balai cerap cuaca di bandar tersebut menaikkan amaran ribut hujan ke tahap ‘hitam’ yang bermaksud hujan lebat melebihi 70 milimeter dalam sejam sejak kelmarin dan juga sekali lagi awal pagi tadi.
Pagi ini, balai berkenaan memberi amaran mungkin berlaku ‘banjir teruk’, sambil menambah bahawa hujan setiap jam sudah melebihi atau dijangka melebihi 100 milimeter di beberapa wilayah.
Imej yang tersebar di media sosial menunjukkan kereta hampir tenggelam di tempat letak kereta luar di daerah Tseung Kwan O sementara perkhidmatan bilik kecemasan di Hospital Queen Mary terjejas akibat ‘banjir teruk’ di beberapa jalan, menurut pihak berkuasa.
Pengangkutan awam pula bergerak perlahan di beberapa daerah dan beberapa pintu keluar stesen kereta api bawah tanah telah turut ditutup, menurut media tempatan.
Lapan belas kes banjir telah dikenal pasti setakat pagi tadi, menurut Jabatan Perkhidmatan Saliran, sambil menambah bahawa 11 telah diselesaikan.
Sementara itu, pusat hab teknologi China yang berjiran dengan Hong Kong, Shenzhen juga mengeluarkan amaran ribut hujan tahap ‘merah’ hari ini, kali pertama sejak 2018, menurut laporan media.
Para saintis memberi amaran keamatan dan kekerapan kejadian cuaca ekstrem global akan meningkat apabila planet ini terus menjadi panas kerana pelepasan bahan api fosil.
China ialah pemancar terbesar di dunia, walaupun ia juga merupakan kuasa tenaga boleh diperbaharui global yang bertujuan untuk menjadi neutral karbon menjelang 2060. – AFP


