HONG KONG, 27 FEB – Hong Kong pada Selasa melancarkan model kecerdasan buatan (AI) generatif pertamanya, dikenali sebagai HKGAI V1, yang menandakan satu babak baharu dalam pembangunan AI di bandar itu.
Alat itu dibangunkan oleh Pusat Penyelidikan dan Pembangunan AI Generatif Hong Kong (HKGAI) di bawah program inovasi InnoHK kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR).
Setakat ini, kira-kira 70 jabatan kerajaan HKSAR telah menguji model AI yang dibangunkan secara tempatan, yang dikuasakan oleh model pembelajaran data DeepSeek. Pencapaian inovatif itu menandakan kejayaan penyesuaian DeepSeek di Hong Kong, memberi nafas baharu kepada ekosistem AI bandar itu, sambil menunjukkan kemampuan inovasi kolaboratif yang kukuh antara Hong Kong dan tanah besar China dalam bidang AI, menurut siaran media HKGAI.

Berucap di acara pelancaran, Sun Dong, Setiausaha untuk Inovasi, Teknologi dan Industri kerajaan HKSAR, menekankan bahawa AI berada di barisan hadapan revolusi teknologi dan transformasi industri baharu, dan Hong Kong sedang aktif terlibat dalam gelombang AI tersebut.
Sun juga menekankan usaha kerajaan HKSAR yang lebih luas untuk menyokong pembangunan AI, termasuk penubuhan pusat pengkomputeran super AI, skim pembiayaan AI bernilai 3 bilion dolar Hong Kong (AS$386 juta) dan pengumpulan lebih 800 syarikat AI di Science Park dan Cyberport.
Beliau juga menyatakan harapan bahawa model bahasa besar yang dibangunkan secara tempatan itu akan segera tersedia untuk digunakan, bukan sahaja oleh perniagaan dan penduduk, tetapi juga oleh komuniti Cina di luar negara. – Xinhua