HONG KONG, 6 JUN – Hong Kong hari ini mengumumkan rancangan untuk melarang penggunaan rokok elektronik secara menyeluruh, merujuk kepada ‘konsensus’ tentang keperluan untuk tindakan tersebut dan kesannya terhadap kesihatan golongan muda.
Langkah itu diambil kira-kira dua tahun selepas bandar raya China itu mengharamkan import, pembuatan dan penjualan rokok elektronik dan produk tembakau yang dipanaskan.
“Kami akan mengharam sepenuhnya semua produk merokok alternatif,” kata Setiausaha Kesihatan, Lo Chung-mau pada sidang akhbar, menggunakan istilah kerajaan untuk produk seperti rokok elektronik.
Hong Kong sudah pun mengharamkan pemilikan rokok elektronik untuk tujuan komersial dan cadangan hari ini akan melanjutkan larangan itu kepada pembeli runcit, walaupun mereka berniat untuk merokok secara peribadi.
Di bawah undang-undang sedia ada, sesiapa di Hong Kong yang mengimport rokok elektronik boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda HK$2 juta, manakala penjual dan pengedar boleh dipenjara sehingga enam bulan.
“Larangan menyeluruh terhadap produk merokok alternatif telah menjadi kata sepakat dalam masyarakat. Sudah tiba masanya untuk mengharamkan semua bentuk pemilikan produk merokok alternatif, termasuk untuk kegunaan peribadi,” kata Timbalan Setiausaha Kesihatan, Eddie Lee.
Pegawai bandar raya hari ini juga mengumumkan larangan merokok lain, termasuk larangan merokok semasa beratur di kawasan awam luar dan berkongsi rokok dengan kanak-kanak bawah umur.
Kerajaan juga mencadangkan larangan tembakau berperisa, yang menurut pegawai hasil tinjauan menunjukkan sangat digemari oleh wanita dan golongan muda.
Lo berkata beliau berharap pengharaman rokok elektronik dan cadangan lain akan diperkenalkan kepada badan perundangan tahun ini. – AFP