HONG KONG – Kerajaan Hong Kong akan menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi mempermudah proses birokrasi dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam, di samping memanfaatkan teknologi tersebut untuk menyediakan maklumat pelancongan yang disesuaikan.
Perkara ini dikongsikan oleh pegawai kanan kerajaan kepada ahli-ahli perundangan pada Isnin.
Dalam sesi taklimat kepada Majlis Perundangan (LegCo) mengenai Ucapan Dasar terkini bandar itu, Setiausaha bagi Inovasi, Teknologi dan Industri, Sun Dong berkata, Pasukan Peningkatan Keberkesanan AI yang dicadangkan oleh Ketua Eksekutif John Lee Ka-chiu sebagai pemangkin kecekapan dalam kerajaan akan mempergiat penggunaan alat AI di seluruh jabatan, serta menyelaras dan menyelia penambahbaikan aliran kerja.
Setiausaha bagi Inovasi, Teknologi dan Industri, Sun Dong turut menegaskan bahawa matlamat utama adalah untuk memanfaatkan AI bagi meningkatkan perkhidmatan awam tanpa menambah saiz tenaga kerja kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas (SAR) itu.
“Bagi menstrukturkan semula kerja dalaman kerajaan, satu ‘kotak peralatan AI’ yang berkemungkinan menampilkan penyelesaian sumber terbuka yang mana akan diperkenalkan tidak lama lagi,” kata Pesuruhjaya Dasar Digital, Tony Wong Chi-kwong, dalam taklimat yang sama.
Rancangan berwawasan ini disasarkan untuk memudahkan 100 jenis kerja kerajaan menjelang tahun depan dan 200 jenis kerja menjelang 2027.
Beliau turut menekankan potensi penjimatan kos melalui penggunaan alat AI bersama yang boleh disesuaikan untuk pelbagai jabatan yang menjalankan tugas serupa, seperti analisis data atau penulisan minit mesyuarat.
Pejabat Dasar Digital (DPO), yang dipengerusikan oleh Wong, akan melancarkan beberapa projek AI utama berskala besar dan berimpak tinggi untuk dijadikan model dalam bidang seperti analisis data, perkhidmatan pelanggan, dan pemprosesan dokumen.
“Platform perkhidmatan digital sehenti bandar ini, ‘iAM Smart’ juga akan dinaik taraf dengan teknologi AI, satu langkah bagi memenuhi permintaan awam yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan yang lebih pintar dan responsif,” jelasnya.

Pihak berkuasa sedang mengarahkan semua jabatan untuk memindahkan perkhidmatan digital semasa mereka ke platform tersebut, dengan matlamat menjadikannya pusat sehenti untuk perkhidmatan kerajaan menjelang akhir tahun ini.
Wong turut menambah bahawa langkah ini telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan, dengan lebih 1,300 fungsi dan borang kini tersedia dalam sistem itu.
Beliau turut mendedahkan bahawa jumlah aplikasi kerajaan telah dikurangkan daripada lebih 100 kepada sekitar 70.
Dalam tempoh dua tahun, jumlah ini dijangka akan dikurangkan lagi separuh apabila aplikasi yang kurang berprestasi ditamatkan secara berkala setiap tahun.
Sementara itu, pihak berkuasa juga sedang mempertimbangkan bagaimana AI boleh merangsang pembangunan sektor pelancongan, kata Setiausaha bagi Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan, Rosanna Law Shuk-pui, semasa taklimat baru-baru ini.
“Inisiatif yang sedang dikaji termasuk naik taraf besar-besaran terhadap ‘Discover Hong Kong’ iaitu sebuah portal laman web yang menyediakan maklumat pelancongan serta pelancaran peta pelancongan masa nyata menjelang awal tahun depan,” jelas Rosanna Law Shuk-pui.
“Peta yang dikuasakan oleh AI itu direka untuk menyuraikan kumpulan pelawat dan menyediakan jadual perjalanan yang diperibadikan berdasarkan minat individu,” jelasnya.
Apabila ditanya mengenai pembiayaan untuk naik taraf berkaitan AI, Sun Dong menjelaskan mekanisme kelulusan pembiayaan berperingkat yang terbaru dan menyatakan bahawa pengembangan aplikasi AI merupakan keutamaan utama dalam peruntukan sumber kerajaan SAR.
Projek di bawah HK$500,000 (AS$64,344) akan dikendalikan secara dalaman; manakala projek antara HK$500,000 dan HK$20 juta memerlukan kelulusan kumpulan kerja pendigitalan di bawah DPO; dan permohonan melebihi HK$20 juta perlu melalui kelulusan Majlis Perundangan.
Mengenai kuasa pengkomputeran, Sun berkata kerajaan sedang giat mengkaji isu ini sebagai sebahagian daripada strategi AI yang lebih luas. Beliau menekankan bahawa sumber data yang kukuh, kumpulan bakat yang besar dan rangkaian global meletakkan bandar ini pada kedudukan strategik untuk berkembang menjadi hab pengkomputeran super bagi menempatkan projek pengkomputeran berprestasi tinggi bertaraf antarabangsa. – ANN/ CHINA DAILY

