BEIJING, 5 JULAI – Program e-baucar Hong Kong dilancarkan secara rasmi pada Ahad, menyaksikan lebih 200,000 penduduk tempatan telah mendaftar untuk program itu setakat jam 9 pagi.
Tempoh pendaftaran selama enam minggu bermula 4 Julai hingga 14 Ogos. Ketua Jabatan Kewangan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Paul Chan Mo Po dalam laman media sosialnya menyatakan pembayaran digital merupakan asas bagi ekonomi digital pada masa depan.
Jelasnya, kepelbagaian peluang pekerjaan dan dorongan daya motivasi baharu terhadap pertumbuhan ekonomi di wilayah pentadbiran khas itu hanya mampu diwujudkan dengan adanya pembangunan pembayaran digital.
Menerusi peruntukan belanjawan Hong Kong yang diumumkan awal tahun ini, penduduk tetap dan mereka yang baru bermastautin, berumur 18 tahun ke atas layak menerima e-baucar bernilai 5,000 dolar HK (RM2,675).
Mengikut unjuran, ia akan melibatkan sejumlah 7.2 juta penduduk dan menelan belanja sekitar 36 bilion dolar HK (RM19.2 bilion).
E-baucar dijangka boleh digunakan bermula 1 Ogos depan bagi mereka yang menyelesaikan pendaftaran sebelum 17 Julai, manakala pemohon mendaftar selepas tempoh berkenaan pula akan menerima baucar pada 1 September. – Bernama