HONG KONG, 25 JULAI – Polis Hong Kong mengumumkan ganjaran hari ini untuk maklumat yang membawa kepada penahanan 19 aktivis luar negara, menuduh mereka melakukan jenayah terhadap keselamatan negara.
Tentangan politik di Hong Kong berjaya ditumpaskan sejak Beijing mengenakan undang-undang keselamatan negara yang menyeluruh pada 2020 selepas protes pro-demokrasi secara besar-besaran dan ganas pada tahun sebelumnya.
Ramai tokoh pembangkang telah melarikan diri ke luar negara, manakala yang lain telah ditangkap dan dijatuhi hukuman penjara bertahun-tahun.
Polis berkata 19 aktivis terbabit terlibat dalam ‘organisasi subversif,’ Parlimen Hong Kong sebuah badan bukan kerajaan pro-demokrasi yang ditubuhkan di Kanada.
Pada 1 Julai, Parlimen Hong Kong berkata di media sosial ia telah mengadakan tinjauan tidak rasmi dalam talian untuk membentuk badan perundangan, bertujuan menentang pemerintahan diktator satu parti dan melaksanakan dasar di mana rakyat Hong Kong memerintah wilayah itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, polis menuduh kumpulan itu berusaha untuk menggulingkan secara tidak sah dan menjejaskan sistem asas pihak berkuasa China dan Hong Kong.
Siasatan terhadap organisasi itu sedang dijalankan, kata polis sambil memberi amaran mereka akan menawarkan ganjaran untuk memburu lebih ramai suspek dalam kes itu jika perlu.
Mereka juga menggesa tertuduh untuk pulang ke Hong Kong dan menyerahkan diri, daripada membuat kesilapan berulang.
Ganjaran HK$200,000 (AS$25,500) setiap seorang ditawarkan untuk 15 daripada aktivis itu, manakala empat yang lain dikehendaki dengan ganjaran HK$1 juta, menurut kenyataan itu. – AFP