HONOR 10 (gambar) merupakan telefon pintar kemegahan terkini jenama Huawei, Honor yang telah dilancarkan di China, minggu lalu. Peranti dikuasakan AI 2.0 ini didatangkan dengan rekaan seperti Huawei P20 dan mengekalkan jek audio 3.5mm.
Ia menonjolkan tetapan dua kamera belakang horizontal dan mempunyai takuk pada paparan depan.
Honor 10 menggunakan EMUI 8.1 berasaskan Android 8.1 Oreo dan menonjolkan paparan LCD full-HD+ (1080×2280 piksel) bersaiz 5.84 inci dengan nisbah bidang 19:9. Ia dikuasakan SoC lapan teras HiSilicon Kirin 970 yang dipadankan dengan RAM 6GB dan dua varian storan dalaman eMMC 5.1, 64GB dan 128GB.
Dari segi kamera, Honor 10 didatangkan dua kamera belakang dengan kombo sensor 16MP dan 24MP, termasuk ciri-ciri seperti denyaran dual LED dan apertur f/1.8. Ia didatangkan dengan jenama ‘AI Camera di belakang. Di depan pula terdapat sensor 24MP bagi swafoto dan panggilan video.
Ia disokong bateri 3400mAh dengan pengecasan pantas yang Honor dakwa boleh mengecas peranti sehingga 50 peratus dalam tempoh 25 minit.
Pilihan sambungan pada Honor 10 termasuk LTE, Wi-Fi, dan Bluetooth. Ia mempunyai dimensi 149.6×71.2×7.7mm dan berat 153g.
Menurut syarikat China berkenaan, Honor 10 didatangkan dengan teknologi AI 2.0 terkini Huawei. Ini membolehkan swafoto potret lebih baik menggunakan kamera depan, menambah baik pengesanan wajah dalam galeri imej dan pemasa sendiri terkini.
Dari segi audio, Honor 10 menonjolkan cip audio Hi-Fi berbilang saluran 7.1 dengan sokongan bagi kesan bunyi 7-saluran.