Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Vicom Enterprise selaku pengedar sah Honor, dalam usahanya memberikan pilihan telefon bimbit canggih terkini kepada orang ramai dan pasaran di negara ini, melancarkan telefon bimbit, Honor Magic V5 dalam majlis pelancaran yang berlangsung di Digital World, Gadong, hari ini.
Telefon bimbit, Honor Magic V5 dilancarkan bersama oleh Pengurus Produk Honor Serantau, Soh Jinn Sheng; Pengurus Jualan Vicom, Chan Jenq Luh; Pengurus Besar Digital World, Foo Ji Ding; dan Pengurus Pemasaran Vicom, Gavyn Lim.
Sebelum pelancaran Magic V5 baharu itu, Soh Jinn Sheng telah menyampaikan penerangan ringkas mengenai produk berkenaan, yang mana menurutnya Honor Magic V5 mempunyai ciri-ciri terkini, keistimewaan dan kehebatannya tersendiri yang tiada tandingan.
Mengulas lebih lanjut, Pengurus Produk Honor antara lain menggariskan Honor mementingkan kualiti dalam setiap penghasilan dan untuk Honor Magic V5 yang terkini tampil dengan beberapa ciri khusus di dalamnya.
Antara ciri yang terdapat pada Magic V5 itu ialah telefon lipat AI paling nipis dan ringan di pasaran pada ketebalan hanya 8.8 milimeter, apabila dilipat dan 4.1 mm, apabila tidak dilipat, mempunyai berat 217 gram serta bateri berkuasa besar, 5,820mAh serta dilengkapi Snapdragon 8 Elite Mobile Platform.
Selain itu, telefon bimbit tersebut juga mempunyai kuasa AI dengan Google Gemini Live, Easy Cross iOS, skrin dalaman anti-calar & jatuh NanoCrystal Glass, IP58 dan 59, kamera telefoto periskop 100x termasuk ciri-ciri yang lain.
Di samping dilengkapi dengan ciri-ciri terkini, ia juga tampil dengan empat warna yang menawan yang membuatkan Honor Magic V5 tampil elegan dan mewah iaitu warna Dawn Gold, Ivory White (edisi terhad dan stok terhad), Silk Brown dan hitam.
Bersempena dengan pelancaran Honor Magic V5, semasa tempoh jualan iaitu bermula hari ini hingga 31 Julai, mereka yang mendapatkan telefon bimbit berkenaan juga akan menerima hadiah percuma berupa produk Honor.




