TOKYO, 5 JUN – Seorang pelayar Jepun, Kenichi Horie, 83, mencipta rekod menjadi lelaki tertua di dunia untuk melengkapkan pelayaran solo tanpa henti merentasi Lautan Pasifik.
Horie kembali ke Jepun selepas merentasi Selat Kii di barat Jepun awal pagi kelmarin, melengkapkan pelayaran solo merentasi Pasifik dalam masa 69 hari selepas memulakan pelayaran dari San Francisco pada penghujung Mac.
Hari ini, Horie tiba di pelabuhan Shin Nishinomiya, di mana dia disambut oleh penduduk tempatan.
“Terima kasih kerana menunggu saya!” kata Horie.
Ia adalah pencapaiannya yang terkini di mana pada tahun 1962 dia pernah menjadi individu pertama di dunia untuk belayar merentasi Lautan Pasifik bersendirian tanpa henti dari Jepun ke San Francisco.
Kira-kira 16 tahun kemudian, dia membuat pelayaran dari laluan yang bertentangan.
Sebaik sahaja memulakan pelayaran dari San Francisco, dia terpaksa meredah ribut, namun cuaca beransur reda dan tiba di Hawaii pada pertengahan April, lebih awal daripada yang dijadualkan.
Dia juga berdepan dengan masalah pada penghujung pelayaran di mana ombak besar telah menyebabkannya ketinggalan beberapa hari daripada jadual. Dia menulis dalam blognya pada Jumaat bahawa dia telah berjaya namun merasa keletihan.
Horie berjaya menghabiskan pelayaran solo jarak jauh dan berkata bahawa dia belum lagi berhasrat untuk berhenti daripada melakukan pelayaran solo terbabit.- AP