Baru-baru ini saya berpeluang menyertai satu sesi senaman di taman rekreasi awam dan saya ingin menegur sikap segelintir penganjur kelas kecergasan, khususnya kelas aerobik terbuka yang seolah-olah tidak menghormati waktu azan.
Program tersebut memang baik untuk kesihatan dan mendapat sambutan ramai. Namun saya amat terkejut apabila muzik masih dimainkan dengan kuat walaupun azan Maghrib sedang berkumandang dari masjid berhampiran.
Bagi saya situasi ini sangat mengecewakan. Bukankah sepatutnya azan dihormati dan segala bentuk bunyi yang mengganggu dihentikan seketika?
Dalam masyarakat majoriti Islam, sensitiviti terhadap perkara asas seperti ini sepatutnya menjadi keutamaan. Bukan sahaja sebagai tanda hormat kepada agama, tetapi juga demi menjaga keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan kepercayaan.
Saya percaya ramai tidak kisah jika senaman dihentikan sebentar selama 5 minit ketika azan berkumandang. Ini bukanlah isu besar jika benar-benar menghargai nilai adab dan toleransi.
Malah, ia juga memberi ruang kepada peserta Muslim untuk bersiap menunaikan solat atau sekurang-kurangnya berhenti sejenak memberi penghormatan kepada seruan Ilahi.
Saya mohon pihak berkuasa tempatan dan penganjur aktiviti awam agar lebih peka terhadap perkara ini. Jangan biarkan amalan sihat fizikal mengorbankan nilai rohani dan akhlak. Kesihatan penting, tapi menghormati agama lebih utama.
Nur Aina







