Hormati hak warga emas

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Salawati Haji Yahya dan James Kon

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Warga emas merupakan aset negara yang sangat bernilai bagi sesebuah negara, bukan saja kerana jasa dan sumbangan mereka dalam membangun masyarakat dan negara, malah atas pengetahuan dan pengalaman mereka yang boleh dimanfaatkan oleh generasi seterusnya sebagai teladan dan panduan hidup.

Tidak dinafikan bahawa kesejahteraan dan pembangunan yang dinikmati pada masa ini adalah hasil titik peluh ge-nerasi terdahulu yang kini menjadi warga emas, terutamanya dalam membentuk masyarakat masa kini hingga mencapai kejayaan dan kecemerlangan.

Perkara berkenaan ditekankan oleh Setiausaha Tetap, (Kebudayaan dan Kemasyarakatan) di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pertubuhan Wargamas kedua yang berlangsung di Dewan Utama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), di sini, hari ini. Beliau seterusnya menjelaskan, warga emas harus dihormati dan diberi perhatian serta hak dan keperluan mereka perlu dijaga untuk memastikan kelangsungan kualiti kehidupan yang lebih bermakna.

“Kerjasama sepadu secara senegara atau Whole of Nation juga telah memberikan impak sangat positif dalam pemerkasaan dan peningkatan taraf kehidupan dan pengupayaan individu, keluarga dan masyarakat secara inklusif,” tambah beliau. Menurut beliau lagi, KKBS memerlukan kerjasama rapat daripada rakan-rakan strategik secara bersatu ke arah Wawasan Brunei 2035 di mana Pertubuhan Wargamas memainkan peranan penting untuk menyatukan golongan warga emas di negara ini, dalam mendukung usaha untuk bekerjasama mencapai wawasan senegara.

“Ini dapat dilihat umur bukan penghalang bagi warga emas untuk bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti menyumbang kepada kebajikan masyarakat dan pembangunan negara dan ini dilihat melalui penglibatan warga emas semasa wabak jangkitan COVID-19 berganding bahu menyumbangkan tenaga,” jelasnya.

Hajah Nor Ashikin menerima momento penyerahan daripada Yang Di-pertua Pertubuhan Wargamas, Pengiran Haji Mohd Salleh bin Pengiran Haji Kamaluddin.
Hajah Nor Ashikin semasa menyampaikan ucapan perasmian di majlis itu.