Saturday, October 5, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hormati, jaga kebajikan warga emas

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Semakin bertambah umur manusia, bererti semakin kurang jangka hayatnya dan semakin hampir kepada ajalnya, dengan perubahan fasa-fasa ini akan dilalui.

    Pada ketika usia tua, secara semula jadi akan berada dalam serba kekurangan berbanding masa muda, sama ada dari segi kekuatan fizikal, daya ingatan dan juga emosi, dan pada usia inilah Allah akan menarik nikmat satu per satu.

    Ini antara isi khutbah Jumaat yang bertajuk Menjaga dan Melindungi Warga Emas yang disampaikan oleh khatib hari ini.

    Khatib menjelaskan, terdapat beberapa fitrah kehidupan yang perlu dilalui jika dikurniakan umur yang panjang iaitu bermula dengan fasa dari dalam kandungan ibu, kemudian fasa kelahiran, seterusnya fasa kanak-kanak, dewasa dan akhirnya akan melalui fasa penuaan.

    Dalam agama Islam, jelasnya, dikurniakan dengan umur yang panjang bukanlah satu masalah atau beban, tetapi ia adalah proses biasa dan bertujuan antaranya menguji tahap keimanan selaku hamba dalam menghadapi situasi tertentu.

    GAMBAR FAIL MUIZ MATDANI

    Di samping itu, ia juga bersangkut paut dengan kerangka pokok ajaran Islam iaitu akhlak, akidah dan syariah.

    Tambahnya, agama Islam telah mengatur soal akhlak itu secara sistematik dan terperinci, antaranya perintah dan kewajipan menyantuni dan menghormati warga emas, lebih-lebih lagi terhadap kedua-dua ibu bapa.

    “Warga emas mempunyai hak untuk mendapat kasih sayang dan penghormatan, di mana setiap individu perlu memainkan peranan sebagai seorang penjaga lebih-lebih lagi apabila mereka menghidap penyakit tertentu sama ada kesihatan jasmani atau mula lemah keupayaan mentalnya.

    “Ia memerlukan kepada kesabaran dan kecekalan hati dan dalam hal ini Rasulullah SAW memerintahkan umatnya agar menghormati orang tua dan menjaga hak mereka,” katanya.

    Khatib seterusnya menjelaskan, bagi yang tinggal di negara ini, kita patut bersyukur kerana kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam amat mengambil berat terhadap kebajikan warga emas.

    Warga emas di negara ini, jelasnya, tidak diabaikan malah mereka diberikan pemedulian dengan bantuan-bantuan yang sewajarnya.

    Khatib turut mengingatkan tentang tanggungjawab terhadap warga emas yang mana amanah tersebut bukan saja menjadi kewajipan kerajaan untuk memeduli tetapi semua terlibat, khususnya anak-anak.

    “Warga emas tidak sepatutnya dianggap sebagai satu beban dan diabaikan kebajikannya, kerana tidak ada yang lebih bermakna untuk diberikan kepada warga emas dalam meniti usia mereka selain diberikan perhatian dan kasih sayang oleh anak-anak mereka,” katanya.

    Pada usia inilah, tegas khatib, biasanya ibu bapa yang mencapai umur lanjut menghendaki dan memerlukan perhatian serta kasih sayang daripada anak-anak.

    Sebagai seorang anak, ada kalanya bermacam-macam kerenah yang dihadapi dalam menjaga orang tua dan dalam menghadapi situasi ini, jelas khatib, seorang anak hendaklah bersabar melayani kerenah mereka.

    “Jangan sekali-kali memarahi, mengherdik, menggertak dan memukul orang tua kerana perbuatan itu akan menyakiti hati mereka,” tegasnya.

    Jasa dan pengorbanan mereka dalam menjaga dan membesarkan anak-anak tidak akan dapat dibalas walau dengan nyawa, harta dan wang ringgit.

    Khatib dalam khutbahnya mengingatkan, Al-Quran meletakkan kewajipan berbakti kepada ibu bapa termasuk apabila mereka mencapai usia tua sejurus selepas perintah beriman kepada Allah dan tidak menyekutukannya.

    Sehubungan itu, kita hendaklah sama-sama menghormati dan menjaga kebajikan warga emas dengan memberikan kasih sayang dan memastikan kesempurnaan hidup mereka.

    “Janganlah mengabaikan dan mensia-siakan mereka. Mereka adalah generasi terdahulu yang telah banyak berkorban dan menyumbang kepada keluarga dan masyarakat,” katanya.

    Khatib dalam khutbah mengingatkan untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan dan semoga mereka akan sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda