Menghormati jiran tetangga adalah prinsip yang penting dalam kehidupan bermasyarakat.
Ia bererti kita menghargai dan menjaga hubungan yang baik dengan mereka yang tinggal di sekitar kita.
Bukan sahaja menghormati, malah jika boleh saling membantu antara satu sama lain, menjaga privasi, ketenangan lingkungan serta memantau tindakan yang dapat mempengaruhi situasi sekeliling.
Tidak dinafikan hidup berjiran akan sentiasa ada pelbagai kerenah, berlainan pendapat dan pegangan.
Namun bagaimana pula jiran-jiran yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan jiran sekitarnya?

Seperti melalak menyanyi senyaring-nyaringnya dengan set karaoke di luar rumah pada waktu malam.
Kejadian baru-baru ini dilaporkan di dada akhbar dan media lain menunjukkan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menyerbu dua buah rumah berikutan aduan bunyi bising iaitu kegiatan persembahan liveband pada waktu orang lain sedang tidur.
Berdasarkan berita itu, mungkin jiran yang mahukan hak privasi dan ketenangan yang membuat aduan.
Ingatlah, rumah merupakan tempat untuk merehatkan badan yang letih bekerja pada waktu pagi dan anak-anak pula perlu tidur malam untuk memastikan mereka segar keesokan harinya.
Oleh itu hormatilah keperluan dan hak istirahat jiran tetangga dengan membatasi kebisingan pada waktu malam.
Dengan saling menghormati, kita dapat mencipta lingkungan yang aman dan harmoni di kawasan kejiranan bukan sahaja pada waktu malam bahkan pada siang harinya.
Haji Salam









