Wednesday, April 16, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hormati ruang jiran

    Aidilfitri adalah waktu yang penuh dengan kegembiraan, di mana kita seharusnya saling berkunjung dan mengeratkan silaturahim.

    Namun, dalam semangat yang membara untuk merayakan hari kemenangan ini, kadang-kadang ada yang terlupa bahawa ziarah itu perlu dilaksanakan dengan adab dan pertimbangan terhadap orang lain.

    Perkara ini bukan sahaja melibatkan etika, tetapi juga keselesaan dan keamanan bersama, yang kadang-kadang terabai dalam keterujaan.

    Baru-baru ini tular satu hantaran media sosial dapat membuka mata kita mengenai satu keluarga datang beraya dengan konvoi lebih 10 buah kereta ke sebuah rumah.

    Tuan rumah yang sepatutnya menyambut tetamu dengan hati yang gembira, terpaksa berhadapan dengan situasi yang kurang menyenangkan.

    Akibatnya, bukan sahaja tuan rumah kebingungan mengurus ruang parkir yang terhad menjadi sesak, menyebabkan tetamu lain yang datang selepas itu tidak dapat meletakkan kereta dengan mudah. Lebih teruk lagi, jiran tetangga yang biasanya tenang juga terganggu kerana laluan keluar masuk yang sesak, bahkan ada yang terpaksa menunggu lama untuk keluar dari kawasan rumah mereka.

    Antara cadangan yang dapat saya kongsikan untuk mengatasi masalah ini adalah dengan mengamalkan carpool atau berkongsi kenderaan ketika ingin berkunjung, terutamanya di kawasan yang sesak atau sempit.

    Selain itu, jika jumlah tetamu yang ingin berkunjung terlalu ramai, sebaiknya menyusun jadual atau berbincang dengan tuan rumah terlebih dahulu untuk memastikan tidak ada masalah timbul.

    Hormatilah ruang kediaman orang lain dan jangan jadikan Syawal sebagai alasan untuk berkelakuan di luar batas kesedaran sivik.

    Munirah

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda