Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Usia emas bukanlah satu masalah atau beban tapi ia merupakan satu proses yang biasa dan perlu diuruskan sebaiknya agar matlamat akhir kehidupan untuk mendapatkan pengakhiran yang baik atau husnul khotimah akan tercapai.
Islam mengajar umatnya agar mengamalkan sikap saling hormat dan menyantuni antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, pangkat atau keturunan, di mana sikap terpuji ini perlu disemai sejak kecil, lebih-lebih lagi terhadap kedua-dua ibu bapa, asuhlah anak-anak untuk beradab dengan semua orang, terutamanya terhadap ibu bapa.
Khatib menekankan perkara itu semasa menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk Sayangi dan Hargai Warga Emas, hari ini dan seterusnya menjelaskan, menghormati dan menyantuni ibu bapa adalah wajib kerana ia perintah Allah SWT dan jika tidak berbuat baik terhadap kedua-duanya maka kita dikira melakukan dosa besar kerana melanggar perintah Allah SWT.
Rasulullah SAW juga mengajarkan umatnya untuk berbuat baik kepada orang dewasa. Selain itu, golongan emas seharusnya diperlakukan dengan baik, disayangi dan dihormati kerana ia adalah tuntutan Islam. Kita hendaklah sedar, kita juga akan berada pada usia tua suatu hari nanti.
Nabi Muhammad SAW berpesan agar kita terus berbakti kepada kedua-dua orang tua yang sudah lanjut usia kerana bakti seorang anak kepada ibu bapa boleh menjadi penyebab untuk dirinya dimasukkan ke syurga.
Khatib seterusnya menegaskan bahawa memuliakan kedua-dua orang tua bererti memuliakan Allah SWT. Kerana itulah Allah SWT menghubungkan perintah berbuat baik kepada ibu bapa dengan perintah bertauhid kepadaNya.
“Rugi bagi mereka yang masih ada orang tua tapi tidak berbuat baik kepada kedua-duanya dan tidak menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya serta gagal memberikan perhatian ketika ibu bapa datang mengadu, dan gagal mengisi ruang sunyi dan rasa rindu ibu bapa untuk mendapatkan kasih sayang,” tegasnya.
Khatib dalam khutbahnya seterusnya menyeru untuk sama-sama menzahirkan rasa hormat dan kasih sayang kepada golongan warga emas dengan menyantuni mereka sebaik mungkin.
“Menyayangi warga emas adalah sifat orang bertakwa dan menzahirkan sikap keprihatinan dan rasa simpati terhadap mereka dengan memelihara perhubungan baik terutama kepada ibu bapa,” jelasnya.


