Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hormon tidak seimbang jejas rutin kehidupan

    KETIDAKSEIMBANGAN hormon dengan mudah boleh menyebabkan seseorang individu itu berasa kembung, rengsa dan kurang sihat. Hormon adalah ‘penghantar kimia’ yang memberi kesan pada cara sel-sel dan organ-organ berfungsi.

    Ia adalah normal untuk tahap hormon berubah pada masa berbeza dalam kehidupan seperti sebelum dan semasa haid atau kehamilan atau semasa menopaus.

    Tetapi sesetengah ubatan dan masalah kesihatan boleh juga menyebabkan hormon itu naik atau turun.

    Haid tidak tetap

    Kebanyakan wanita akan mula datang haid setiap 21 hingga 35 hari. Tetapi jika haid anda tidak tiba pada waktu yang sama setiap bulan atau melangkau bulan seterusnya, ini bermakna anda memiliki terlalu banyak atau sedikit hormon tertentu (estrogen dan progesterone).

    Ketidakseimbangan hormon boleh menyebabkan seseorang berasa murung dan lesu.

    Jika anda dalam usia 40-an atau awal 50-an, ia berkemungkinan disebabkan oleh perimenopaus. Perimenopaus adalah masa sebelum menopaus. Tetapi jika haid tidak tetap boleh juga menjadi simptom masalah kesihatan seperti sindrom polisistik ovary (PCOS). Lebih baik anda berjumpa doktor bagi mengetahui masalah sebenar.

    Masalah tidur

    Jika anda tidak mendapat tidur secukupnya atau mengalami tidur yang kurang baik, mungkin ia juga disebabkan oleh hormon Progesterone, sejenis hormon yang dilepaskan melalui ovary membantu anda tidur. Jika tahap hormon progesterone itu rendah dari kebiasaan, ia boleh membuatkan anda sukar untuk tidur dan kekal tidur.

    Estrogen yang rendah boleh mencetus rasa hangat memerah atau hot flashes dan berpeluh pada waktu malam.

    Kedua-dua simptom ini boleh menjadikan anda sukar mendapatkan waktu rehat yang diperlukan.

    Akne atau jerawat kronik

    Akne atau jerawat yang tumbuh sebelum atau semasa haid itu perkara normal. Tetapi akne yang tidak boleh hilang akan menjadi simptom kepada masalah hormon.

    Androgen sejenis hormon lelaki yang dimiliki oleh lelaki dan wanita. Androgen yang berlebihan boleh menyebabkan kelenjar minyak bekerja lebih keras.

    Selain itu, androgen turut memberi kesan pada sel-sel kulit dalam dan sekeliling folikel rambut. Kedua-dua perkara ini boleh menyumbat pori dan menyebabkan akne.

    Ingatan kabur

    Pakar tidak berapa pasti bagaimana hormon memberi kesan pada otak. Apa yang mereka tahu adalah perubahan dalam estrogen dan progesterone boleh membuatkan kepala anda berasa kabur dan menjadikan anda lebih sukar untuk mengingati sesuatu perkara.

    Sesetengah pakar berpendapat bahawa estrogen memberi kesan kepada kimia otak yang dikenali sebagai pengutus neuro.

    Masalah tumpuan dan ingatan perkara biasa semasa perimenopaus dan menopaus. Tetapi ia juga boleh menjadi simptom kepada masalah berkaitan hormon seperti penyakit tiroid. Beritahu doktor anda jika anda mengalami masalah untuk berfikir dengan jelas.

    Masalah perut

    Perut anda adalah lapisan yang memiliki sel-sel halus yang dikenali sebagai penerima atau receptors yang memberi tindak balas pada estrogen dan progesterone.

    Apabila hormon ini lebih tinggi atau rendah daripada kebiasaannya, anda mungkin akan menyedari perubahan terhadap bagaimana anda mencerna makanan.

    Sebab ini jugalah mengapa cirit-birit, sakit perut, kembung dan loya boleh menjadi teruk sebelum atau semasa haid.

    Jika anda mengalami masalah pencernaan dan pada masa yang sama mengalami masalah akne dan kelesuan, bermakna tahap hormon anda tidak menentu.

    Kelesuan berterusan

    Kelesuan adalah satu simptom biasa ketidakseimbangan hormon. Progesterone berlebihan boleh menjadikan anda mengantuk.

    Dan jika tiroid, menghasilkan sedikit hormon tiroid, ia boleh mengurangkan tenaga. Satu ujian darah ringkas yang dikenali sebagai panel tiroid boleh memberitahu anda jika tahap hormon terlalu rendah. Jika betul tahap hormon rendah, anda boleh mendapatkan rawatan untuk masalah tersebut.

    Perubahan mood dan kemurungan

    Penyelidik berpendapat penurunan hormon atau perubahan pantas dalam tahap hormon boleh menyebabkan mood yang sentiasa berubah-ubah.

    Estrogen memberi kesan pada kimia otak seperti serotonin, dopamine dan norepinephrine. Tetapi hormon lain yang turut berada dalam laluan sama dengan pengutus neuro turut memainkan peranan terhadap apa yang anda rasa.

    Selera dan penambahan berat badan

    Apabila anda berasa sedih atau rengsa, pada masa inilah tahap estrogen menurun. Ini menyebabkan anda mahu makan lebih banyak.

    Sebab itu juga ada peningkatan berat badan ada kaitan dengan penurunan dalam hormon. Penurunan estrogen juga boleh memberi kesan pada tahap leptin tubuh. Leptin adalah hormon yang membantu mengatur pengambilan makanan.

    Sakit kepala

    Banyak perkara yang boleh mencetus kepada sakit kepala. Tetapi bagi sesetengah wanita, penurunan estrogen adalah punca terjadinya sakit kepala.

    Sebab ini juga perkara biasa bagi sakit kepala menyerang sebelum atau semasa haid kerana pada masa ini estrogen sedang berkurangan.

    Sakit kepala kerap pada masa yang sama setiap bulan boleh menjadi petanda bahawa pada masa ini tahap hormon telah berubah.

    Perubahan payudara

    Penurunan estrogen boleh menjadikan tisu payudara kurang padat. Dan peningkatan dalam hormon boleh menebalkan tisu ini malah menyebabkan benjolan.

    Dapatkan nasihat doktor jika anda menyedari perubahan pada payudara walaupun anda tidak memiliki sebarang simptom yang boleh membuatkan anda risau.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda