Thursday, September 19, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Horner bebas salah laku

    LONDON, 29 FEB – Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner, telah dibebaskan daripada sebarang salah laku selepas siasatan terhadap aduan kelakuan tidak wajar terhadapnya yang dibuat oleh seorang ahli pasukan wanita.

    Satu kenyataan daripada jenama minuman tenaga Austria, Red Bull, syarikat induk pasukan juara dunia Formula Satu itu berkata bahawa ‘aduan telah ditolak’.

    Horner, yang telah menjadi ketua pasukan sejak 2005, menafikan dakwaan yang dibuat terhadapnya dan telah menjalani sesi siasatan panjang oleh peguam bebas London yang bertindak sebagai penyiasat, yang menyerahkan laporan kepada Red Bull.

    Laporan peguam itu telah disampaikan pada Selasa dan telah dipertimbangkan oleh pengarah-pengarah Red Bull.

    Dalam satu kenyataan, Red Bull GmbH berkata, “Siasatan bebas terhadap dakwaan yang dibuat terhadap Horner telah selesai dan Red Bull boleh mengesahkan bahawa aduan tersebut telah ditolak.

    “Pengadu mempunyai hak untuk merayu. Red Bull yakin bahawa siasatan telah dijalankan secara adil, teliti dan tidak berat sebelah.

    “Laporan siasatan itu adalah sulit dan mengandungi maklumat peribadi pihak tertentu dan pihak ketiga yang membantu dalam siasatan dan oleh itu, kami tidak akan mengulas lanjut bagi menghormati semua yang terlibat.

    “Red Bull akan terus berusaha untuk memenuhi piawaian tempat kerja tertinggi.” – AFP

    Seorang wartawan bercakap dengan Horner sebelum sesi latihan pertama menjelang Grand Prix Formula Satu Bahrain di Litar Antarabangsa Bahrain di Sakhir, Bahrain kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda