LAUSANNE, 2 Mei – Pasukan tuan rumah Euro 2024 perlu memenuhi kriteria tertentu berhubung hak asasi manusia, UEFA berkata pada Isnin ketika mereka bersedia memilih pencalonan antara Jerman dan Turki.
Jerman dan Turki andalah antara dua negara yang telah mengemukakan pengisytiharan kepentingan sebagai hos pertandingan dan UEFA akan memutuskannya pada September 2018.
“Buat pertama kalinya, bidaan ini mengandungi kriteria tertentu berhubung dengan hak asasi manusia,” kata UEFA dalam satu kenyataan.
Kriteria berdasarkan Prinsip Panduan Perniagaan dan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Konvensyen PBB yang lain. Kriteria mengenai langkah pematuhan dan anti-rasuah telah dimasukkan sebagai satu keperluan.
“Perlindungan hak asasi manusia dan hak-hak pekerja amat penting untuk UEFA,” kata presiden badan induk bola sepak Eropah Aleksander Ceferin.
“Mulai sekarang, negara-negara pembida perlu mematuhi dengan tegas artikel-artikel ini dalam rangka kejohanan dan final semua organisasi kita.”
Selepas Euro 2016, kejohanan 24 pasukan pertama diadakan di Perancis dan dimenangi oleh Portugal, Euro 2020 akan diadakan di 13 bandar berbeza di seluruh Eropah dengan separuh akhir dan final akan berlangsung di Wembley di London.
Jika Turki berjaya dalam membida kejohanan 2024, ia akan menjadi acara sukan terbesar yang pernah diadakan di negara itu. Turki telah gagal dalam tiga bidaannya untuk menjadi tuan rumah Euro sebelum ini.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan baru-baru ini pula telah meraih kemenangan tipis dalam referendum untuk memperluaskan kuasanya.
Pihak penentang mendakwa ia akan membawa kepada pemerintahan seorang lelaki manakala kerajaan berkata ia akan memastikan kestabilan politik bagi sebuah negara yang telah mengalami pelbagai pakatan tidak stabil.
Sekitar 47,000 orang telah ditahan di Turki di bawah perintah darurat sembilan bulan sejak rampasan kuasa tentera yang gagal pada Julai 2016. – AFP