Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hospital Al Shifa tidak lagi berfungsi

    KUALA LUMPUR, 2 APRIL – Hospital terbesar di Gaza, Hospital Al Shifa, kini tidak berfungsi selepas musnah berikutan operasi serangan selama 14 hari oleh tentera Israel di dalam dan sekitar fasiliti itu, menurut Doktor Tanpa Sempadan (MSF).

    “MSF terkejut kerana Hospital Al Shifa kini telah musnah,” katanya menerusi catatan di laman web. MSF, sebuah pertubuhan kemanusiaan perubatan antarabangsa menyatakan bahawa memandangkan tahap kemusnahan yang dialami hospital itu, penduduk di utara semakin terhimpit untuk mendapatkan kemudahan kesihatan.

    “Akses ke Hospital Al Shifa adalah mustahil selama beberapa hari, menyebabkan pesakit tidak mendapat rawatan,” kata MSF.

    MSF juga melaporkan penangkapan besar-besaran kakitangan perubatan dan individu lain di dalam dan di sekitar hospital.

    Keganasan serangan dan pertempuran hebat itu turut memberi kesan kepada klinik MSF yang terletak berhampiran hospital, menurut pertubuhan itu.

    “Saya melihat kerosakan besar. Saya terkejut. Pejabat, klinik, semua kereta dan generator rosak,” kata seorang kakitangan MSF.

    Petugas MSF melawat Hospital Al Shifa pada bulan Januari dan Mac. Walaupun hospital itu hanya berfungsi sebahagiannya dan kekurangan bekalan, kakitangan perubatan masih merawat lebih 200 pesakit pada Mac. – Bernama

    Penduduk Palestin memeriksa kerosakan di kawasan sekitar hospital Al-Shifa Gaza selepas tentera Israel berundur pada 1 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda