Saturday, September 21, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hospital Belait jalani pembersihan selepas banjir

    Oleh Sim Y.H. –

    BELAIT, 31 DIS – Keadaan cuaca yang tidak menentu dan hujan lebat pada awal pagi 30 Disember telah mengakibatkan beberapa kawasan di Kuala Belait mengalami banjir dengan perkhidmatan di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait turut terjejas.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, kelmarin, antara perkhidmatan yang terjejas ialah Klinik Pesakit Luar Sajikal (SOPD), Klinik Podiatri, Klinik Ortopedik, Klinik Mata, Klinik Dermatologi (kulit), Klinik Pakar Bius, Klinik Telinga, Hidung dan Kerongkong (ENT), Klinik Audiologi, Klinik Dietetik (Dietician), Klinik Pakar Perubatan (PHY), Unit Fisioterapi, Klinik Obstetrik dan Ginekologi, Klinik Pediatrik serta Klinik Kardiologi.

    Klinik-klinik berkenaan akan ditutup sementara waktu bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan dan pembersihan yang dijangka akan mengambil tempoh sehari, tertakluk kepada keadaan cuaca.

    Sehubungan itu, langkah-langkah telah diambil untuk memastikan perkhidmatan yang sedia ada tidak terjejas. Pesakit-pesakit yang mempunyai perjanjian dengan klinik-klinik yang terjejas akan dihubungi dan akan dijadualkan semula perjanjian mereka pada tarikh lain, pesakit yang memerlukan rawatan segera akan dirawat di tempat yang dikhaskan, pelawat-pelawat tidak dibenarkan untuk melawat wad-wad di hospital berkenaan pada 30 Disember sehingga kerja-kerja pembersihan selesai dilaksanakan serta menutup kawasan-kawasan yang terjejas untuk keselamatan orang ramai.

    Kementerian Kesihatan akan memantau keadaan banjir dari semasa ke semasa serta memaklumkan sebarang maklumat terkini berkenaan situasi di Hospital Suri Seri Begawan.

    Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian operator 3335331 (semasa waktu pejabat) Hospital Suri Seri Begawan atau menghubungi Talian Darussalam 123 pada bila-bila masa.

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda