Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hospital daerah perlu inovatif tingkat kesihatan masyarakat

    TUARAN, 12 Feb – Hospital daerah perlu mencari pendekatan inovatif dan efektif bagi meningkatkan kualiti dan taraf kesihatan masyarakat setempat demi pembangunan sosioekonomi negara.

    Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Noor berkata masyarakat, terutama di luar bandar, perlu sentiasa diberi motivasi bagi meningkatkan kualiti kesihatan mereka.

    “Program kesihatan yang dianjurkan di luar kawasan hospital satu kaedah yang memberi peluang kepada rakyat memanfaatkan perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan.

    “Program seperti ini patut diambil kesempatan oleh masyarakat sekitar kerana perkhidmatan yang diberikan tiada caj dan penduduk boleh terus mendapatkan khidmat pakar perubatan tanpa melalui prosedur temujanji,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kem Kesihatan dan Perubatan Mata anjuran Hospital Tuaran di sini, hari ini.

    Hajiji yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sulaman, turut berharap lebih ramai pakar perubatan ditempatkan di Hospital Tuaran bagi memudahkan rakyat setempat mendapatkan perkhidmatan tanpa perlu ke hospital besar seperti Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, kira-kira 34km dari sini.

    “Memang menjadi harapan semua hospital daerah agar pakar perubatan ditempatkan di hospital masing-masing kerana ini tentunya akan menambah baik perkhidmatan kesihatan di daerah,” katanya.

    Terdahulu, Pengarah Hospital Tuaran Dr G. Mohan berkata perkhidmatan optometri akan ditawarkan di hospital itu mulai April ini.

    Dengan adanya perkhidmatan itu, beliau berkata ia akan memberi peluang kepada pelajar perubatan mata untuk menjalani latihan dan seterusnya berkhidmat di hospital itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda