TAWAU, 19 OKT – Hospital Medan di Tawau yang diaktifkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan peruntukan RM500,000 daripada kerajaan akan beroperasi mulai esok dan dijangka menerima 20 pesakit. Komander Hospital Medan Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad berkata pihaknya menyasarkan 30 hingga 50 peratus pesakit akan dirawat di Hospital Medan pada minggu pertama. “Hospital ini ada 100 katil dan kita akan terus terima pesakit sehingga kapasiti maksimum,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Beliau berkata Hospital Medan yang didirikan di gelanggang badminton Kompleks Sukan Tawau itu menyediakan pelbagai disiplin perubatan termasuk perubatan am, ortopedik selain rawatan kesihatan wanita dan kanak-kanak. – Bernama