Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya, Intracorp (B) Sdn Bhd dan misi global Electrolux iaitu Electrolux shapes living for the better, telah menyumbangkan produk Electrolux bernilai $5,743 kepada Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini.
Pada majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di Lobi 5, Hospital RIPAS itu, sumbangan berupa lima unit Air Purifier, satu unit peti ais dua pintu dan satu unit Washer Dryer 8/5kg telah disampaikan oleh Ketua Pemasaran Intracorp (B) Sdn Bhd, Lolita Carman Bito-on kepada Ketua Operasi Hospital RIPAS, Haji Shamsul Bahrine bin Haji Sabtu.
Intracorp menyatakan bahawa sumbangan itu merupakan sokongan berterusan pihak syarikat kepada usaha Kementerian Kesihatan dalam menangani pandemik COVID-19 dan dengan sokongan daripada rakan jenama, Electrolux, sumbangan itu diharap akan membantu untuk menjana udara ruang dalaman yang lebih bersih.
Electrolux sentiasa berusaha untuk berada di barisan hadapan kemapanan dalam masyarakat menerusi penyelesaian dan operasi yang menyumbang kepada pembangunan sosial negara-negara di mana ia beroperasi menerusi perkhidmatan, produk dan projek sukan, alam sekitar, kebudayaan dan sosial.
Pada majlis berkenaan, Haji Shamsul Bahrine turut merakamkan penghargaan kepada pihak Intracorp (B) Sdn Bhd dan Electrolux atas sumbangan yang amat bermakna bagi hospital berkenaan.
