Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hospital siar pembedahan otak secara langsung

    WASHINGTON, 31 OKT – Seorang wanita di Texas mampu bercakap dengan doktor ketika pembedahan otak dijalankan ke atasnya, dan penduduk seluruh dunia menontonnya, sebagai sebahagian prosedur yang disiarkan secara langsung di Facebook.

    Menjelang semalam, hampir 100,000 orang menonton doktor mengeluarkan ketulan besar daripada otak Jenna Schardt ketika video pembedahan selama 40 minit disiarkan pagi kelmarin.

    Dalam video itu, pesakit berusia 25 tahun berkenaan dilihat bercakap dengan doktor yang berada di sebelah tabir pembedahan berwarna biru ketika pakar memakai topeng pembedahan membedah otaknya di sebelah lagi.

    Schardt mengalami serangan angin ahmar disebabkan banyak saluran darah di lobus temporal kiri yang menjejaskan kemampuannya untuk bercakap, kata ketua saraf Pusat Perubatan Methodist Dallas, Nimesh Patel.

    Beliau masih sedar ketika tengkoraknya dibuka supaya doktor dapat memastikan ia tidak merosakkan beberapa bahagian otak yang mengawal percakapan ketika mereka melakukan pembedahan.

    Mereka dilihat meminta Schardt menyebut perkataan seperti burung, anjing atau nombor dalam turutan untuk membuat ‘peta’ otaknya, kata Patel.

    “Dalam usaha kami mengenal pasti bagaimana untuk mendapatkan dan membuang ketulan, kami perlu pastikan bahagian yang selamat,” kata Patel.

    Mereka malah meminta Schardt bercerita mengenai anjingnya untuk menguji memori beliau sepanjang pembedahan selama empat setengah jam itu.

    “Pembedahan otak ketika pesakit sedar bukan rutin walaupun ini merupakan kemahiran kami.

    “Ia bergantung kepada tempat letaknya bahagian dalam otak dan jika pesakit mahu disedarkan atau ditidurkan,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda