Hospital terbakar ragut 14 jiwa

SKOPJE, MACEDONIA, 9 SEPT – Kira-kira 14 maut dalam kebakaran di sebuah hospital yang merawat pesakit-pesakit koronavirus di Macedonia Utara, kata pihak berkuasa hari ini.

Kebakaran meletus lewat semalam susulan letupan di sebuah klinik COVID-19 di Tetovo di barat laut negara Balkan, kata Perdana Menteri Zoran Zaev, yang segera ke lokasi insiden.

“Tragedi besar telah berlaku di pusat Tetovo COVID-19,” kata Zaev dalam Twitter semalam.

“Letupan menyebabkan kebakaran. Api berjaya dipadamkan namun banyak nyawa hilang.”

Kira-kira 14 orang meninggal dunia dalam bencana itu, kata pejabat pendakwa raya dalam satu kenyataan, meningkatkan jumlah kematian dari 10 semalam.

Saintis forensik dan anggota bomba memeriksa lokasi klinik COVID-19 terbakar di Tetovo pada 9 September. – AFP

“Pendakwa telah mengarahkan autopsi dijalankan untuk mengenal pasti 14 mayat yang rentung dalam kebakaran dan mencari korban lain,” menurut kenyataan itu.

Menteri Kesihatan Venko Filipce sebelumnya menyatakan takziah kepada keluarga mangsa dalam Twitter.

Kebakaran itu meletus ketika bekas republik Yugoslav itu meraikan ulang tahun ke-30 kemerdekaan, dengan festival diadakan di bandar Skopje, termasuk perarakan tentera.

Kebakaran memusnahkan bahagian unit modular yang baru dibina di hadapan hospital untuk menempatkan pesakit COVID-19.

Anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian sekitar jam 7 malam waktu tempatan dan mengambil masa selama 45 minit untuk dipadamkan.

Kerja-kerja pembinaan pada unit modular COVID-19 hanya bermula pada Disember di hospital di Tetovo, sebuah bandar sekitar 50,000 orang.

“Kebakaran itu besar kerana hospital itu modular daripada bahan plastik,” kata timbalan ketua bomba, Saso Trajcevski kepada televisyen tempatan. – AFP