Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Sebanyak 60 kerusi roda buatan Taiwan telah disumbangkan kepada Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong pada majlis yang berlangsung di hospital berkenaan, hari ini.
Sumbangan disampaikan menerusi kempen yang dilancar oleh Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Brunei Darussalam dengan kerjasama Persatuan Perniagaan Taiwan Brunei Darussalam, Persatuan Graduan Taiwan Brunei Darussalam dan Golden Corporation (GC) cawangan Tutong susulan sumbangan sebanyak 40 kerusi roda kepada Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada 12 Mei lalu.
Hadir menerima kerusi-kerusi roda berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Hospital PMMPMHAMB, Awang Abdul Mu’iz bin Ibrahim dan disampaikan oleh wakil bersama, Andrew H C Lee, Yap Ong Chuan, Richard Chuang dan Chia Yit Fatt.
Sumbangan berkenaan bertujuan untuk sama-sama membantu mereka yang memerlukan di hospital serta untuk mengeratkan hubungan antara pihak hospital dan persatuan-persatuan Taiwan di Negara Brunei Darussalam.
Menurut kenyataan yang diberikan, Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei menyumbangkan sebanyak 30 kerusi roda dan 30 kerusi lagi sumbangan Pengarah Urusan, Richard Chuang bagi pihak GC.
Sumbangan juga bertujuan untuk memberi maklum balas kepada warga Daerah Tutong dan menambah peralatan perubatan hospital awam di daerah itu serta memenuhi tanggungjawab sosial.
Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei, Persatuan Graduan Taiwan dan Persatuan Perniagaan Taiwan sebelum ini mengumpulkan sebanyak 174 kerusi roda secara keseluruhan.
Sebanyak 74 kerusi roda yang selebihnya akan diatur untuk disumbangkan kepada hospital dan persatuan kebajikan bukan kerajaan yang lain.
Usaha bersepadu berkenaan setentunya menunjukkan ikatan hubungan persahabatan masyarakat dari Taiwan serta tanggungjawab sosial korporat yang diamalkan oleh mereka demi kesejahteraan bersama.
