Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Hotel Badi’ah telah memenangi Anugerah Keindahan, Kebersihan, Keamanan, Keselamatan bagi Kesejahteraan Kota (Anugerah 5K) 2016-2017 bagi Bangunan Komersial (Kategori Transformasi) yang diadakan sempena Penukaran Nama Bandar Brunei Menjadi Bandar Seri Begawan kali ke-47.
Anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Haji Ali bin Matyassin kepada Pengurus Besar, Hotel Badi’ah, Razami Safar pada majlis yang diadakan di hadapan bangunan hotel berkenaan, hari ini.
Dianjurkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB), Anugerah 5K merupakan program bagi mengangkat program kebersihan dan kehijauan sejak tahun 2010.
Program yang asalnya dinamakan Program Penghijauan Bandar Seri Begawan, diadaptasikan selaras dengan visi dan misi strategik jabatan, kemudian dinamakan sebagai Program 5K iaitu berkisar elemen keindahan, kebersihan, keamanan, keselamatan bagi kesejahteraan kota.

Dengan meningkatnya jangkaan masyarakat, inisiatif berkenaan telah dilaratkan lebih meluas lagi bukan sahaja merangkumi aspek kehijauan, keindahan dan kebersihan malah juga aspek keselamatan, keamanan dan kesejahteraan kota selain menjadikannya satu pertandingan sebagai langkah strategik Jabatan Bandaran BSB bagi memastikan peningkatan dan penaiktarafan alam sekitar di dalam kawasan ibu negara.
Tahun ini, kategori anugerah ditukarkan kepada Kategori Transformasi sahaja iaitu dua kategori bagi Kategori Transformasi Bangunan Komersial dan Kategori Transformasi Bengkel.
Ini bertujuan untuk mempertingkatkan usaha dan daya pembaikan kepada calon-calon premis yang telah dikenal pasti sangat memerlukan pembaikan dan peningkatan.
Unit Penguatkuasaan Undang-undang di Jabatan Bandaran BSB selaku pengerusi majlis berharap melalui kejayaan program pertama ini akan dapat mengangkat Anugerah 5K sebagai satu agenda nasional kerana ia dilihat sebagai satu langkah strategik dalam melahirkan budaya proaktif, rasa kepunyaan dan tanggungjawab pemilik-pemilik, penyewa dan peniaga dalam menerapkan lagi elemen 5K.