Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hotel dijadikan hospital, COVID-19 terus meningkat

    JAKARTA, 29 SEPT – Pemerintah Indonesia kini menjadikan hotel di Jakarta sebagai tempat kuarantin dan merawat pesakit COVID-19, berikutan peningkatan drastik jangkitan serta hospital di provinsi itu dilaporkan mula mencapai kapasiti penuh.

    Ketua Bidang Kesihatan Masyarakat, Provinsi Jakarta, Fify Mulyani dalam siaran di YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia  berkata dua hotel iaitu Ibis Style di Mangga Dua, Jakarta Utara dan U Stay Hotel di Mangga Besar, Jakarta Barat, telah dijadikan tempat kuarantin dan rawatan kepada pesakit COVID-19 bermula semalam.

    Tanpa menyatakan jumlah pesakit yang sedang dirawat, beliau berkata kedua-dua hotel itu boleh menampung 212 (Hotel Ibis) dan 140 pesakit (Hotel U Stay).

    Sementara itu Ketua Persatuan Hotel dan Restoran Indonesia, Krisnadi dalam kenyataan berkata 30 hotel di Jakarta telah dikenal pasti untuk dijadikan hospital sementara bagi merawat dan tempat kuarantin pesakit COVID-19.

    Pada 14 Sept lepas, Gabenor Jakarta Anies Baswedan menyatakan 67 hospital di Jakarta berada di tahap lebih 70 peratus penggunaan peralatan, katil serta kemudahan perubatan berikutan trend kes positif baharu di Jakarta secara puratanya hampir 1,000 kes setiap hari sejak akhir Ogos lepas. Berdasarkan data BNPB, Indonesia hari ini mencatatkan 4,002 jangkitan baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kes keseluruhan di republik itu kini 282,724 kes. -Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda