HARARE, 16 JUN – Sebuah hotel terkenal di Zimbabwe menjadi bahan jenaka di media sosial kelmarin selepas ia menawarkan beberapa baldi air mandian panas kepada tetamunya berikutan bekalan elektrik terputus di Harare.
Dalam notis kepada tetamu, Meikles Hotel berkata, ia telah beroperasi menggunakan penjana kuasa elektrik sejak Sabtu lalu kerana kerosakan bekalan elektrik di daerah pusat perniagaan Harare. Akibatnya tiada air panas dapat digunakan.
“Jika awda memerlukan air panas untuk mandi, sila hubungi bahagian pengurusan kami dan baldi akan dihantar kepada awda.”
Mesej itu dengan cepat mendapat beberapa reaksi aneh dalam media sosial.
“Senarai (bucket list) yang perlu saya lakukan termasuk menghabiskan hujung minggu di suite presiden Hotel Meikles,” sindir seorang warga dalam laman Twitter.
Satu lagi catatan menunjukkan imej lelaki separuh bogel, badan ditutup dengan buih sabun, membilas dirinya dengan air dari baldi.
Hotel tersebut merupakan tempat tumpuan urusan perniagaan, organisasi antarabangsa dan mesyuarat politik, serta pelancong di Harare. – AFP