Wednesday, March 19, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hotel-hotel dinasihatkan tutup kolam renang

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Hotel-hotel di Brunei Darussalam yang mempunyai kolam renang dinasihatkan untuk menutup kemudahan berkenaan buat sementara waktu.

    Presiden Persatuan Hotel-hotel Brunei (BAH), Awang Iswandi bin Maaruf turut menyarankan ahli-ahli BAH untuk terus menutup sementara kemudahan spa dan sauna, gimnasium dan bilik urut mereka sehingga pemberitahuan selanjutnya.

    “Dalam hal ini, kerjasama semua pihak sangat diperlukan, itu adalah peranan kami dalam ‘Whole of Nation Approach’,” tekan Awang Iswandi.

    Beliau membuat saranan berkenaan berikutan dengan penularan wabak COVID-19 di Brunei Darussalam dan sejajar dengan nasihat Kementerian Kesihatan untuk menghentikan semua perhimpunan besar-besaran.

    Buat masa ini, ujar beliau, semua hotel di Brunei bekerjasama dalam hal berkenaan dengan menutup kemudahan berkenaan, walaupun belum ada surat dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Kementerian Kesihatan mengenainya.

    “Jika ada mereka yang ragu-ragu untuk menutup kolam renang mereka dan masih mahu meneruskan operasi kolam renang, mereka perlu bertanggungjawab atas tindakan mereka
    sendiri.

    “Sebagai prosedur, kami hanya menasihati hotel-hotel kerana kami ingin membantu Kementerian Kesihatan bagi memastikan COVID-19 tidak menular dan juga untuk memastikan sistem kesihatan tidak runtuh (collapsing). Kami diberitahu bahawa kami perlu melaporkan kepada Kementerian Kesihatan dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) ke atas mana-mana ahli persatuan yang tidak mengikuti sebarang arahan,”
    ujarnya lagi.

    Beliau juga mengingatkan ahli-ahli BAH untuk sentiasa memastikan pemeriksaan suhu badan dan ‘hand sanitizer’ sentiasa terdapat di setiap tempat masuk dan keluar hotel.

    Sekiranya ada ahli-ahli persatuan mempunyai sebarang pertanyaan, mereka boleh menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 untuk pengesahan selanjutnya.

    Awang Iswandi berharap bahawa semua ahli BAH akan memahami situasi semasa, dan memohon maaf terlebih dahulu atas sebarang kesulitan yang terjadi kepada ahli-ahli BAH atau tetamu mereka.

    Awang Iswandi menyarankan ahli-ahli BAH menutup sementara kemudahan spa dan sauna, gimnasium dan bilik urut ketika ditemu bual, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda