Hotel terbakar ragut lapan jiwa

KIEV, 18 OGOS – Lapan orang terbunuh manakala 10 lagi cedera dalam kebakaran sebuah hotel di bandar pelabuhan Ukraine di Odessa awal hari ini, kata perkhidmatan kecemasan.

Kebakaran berlaku pada jam 1:34 pagi waktu tempatan di hotel Tokyo Star di bandar yang terletak di selatan itu.

Kira-kira 65 anggota bomba dibantu 13 jentera berjaya memadam kebakaran tiga jam kemudian.

Dalam satu kenyataan, perkhidmatan kecemasan berkata, seramai lapan orang telah disahkan maut manakala 10 lagi lainnya mengalami kecederaan.

Pihak berkuasa Odessa berkata, kira-kira 150 orang dipindahkan dari kawasan itu.

Seorang anggota polis berdiri di hadapan hotel Tokyo Star di Odessa, selatan Ukraine, kelmarin selepas kebakaran itu. – AFP

Polis dalam pada itu telah membuka siasatan jenayah terhadap kemungkinan berlaku pelanggaran syarat keselamatan kebakaran dan punca insiden sedang disiasat.

“Kami kehilangan lapan nyawa dalam satu malam sahaja,” kata Zelensky di Facebook.

“Dan ini bukan kerana perang dan serangan, tetapi kerana satu kecuaian, pengabaian piawaian keselamatan asas dan pengabaian terhadap kehidupan manusia.”

Zelensky menambah dia akan secara peribadi memastikan bahawa mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan dan dihukum mengikut peruntukan undang-undang.

Perdana Menteri Volodymyr Groysman, juga menulis di laman Facebooknya, untuk mengarahkan ‘pemeriksaan secara besar-besaran di tempat-tempat percutian, terutamanya di hotel dan resort di negara ini susulan insiden itu’. – AFP