PARIS, 26 JUN – Kali terakhir England bertemu Norway pada Piala Dunia wanita, kaptennya ialah Steph Houghton dengan gol penyamaan beliau menghadiahkan mereka kemenangan di Kanada empat tahun lalu.
Kemenangan 2-1 di Ottawa itu muncul pada peringkat 16 terakhir dan kini mereka bertemu sekali lagi pada suku akhir di Le Havre Khamis ini selepas skuad Houghton berjaya menundukkan Cameroon dalam kemenangan kontroversi. Ia amat sukar untuk Houghton, 31, kerana memerlukan rawatan atas kecederaan pergelangan kaki selepas menerima cabaran buruk pemain lawan sebelum ini.
“Kami bimbang dengannya. Dia bukan seorang pemain yang boleh diabaikan,” kata jurulatih Phil Neville.
“Dia adalah pemain besar kami dan kapten kami.”
Houghton yang meraih 109 kap, menjaringkan gol pembukaan England untuk memastikan mereka melengkapkan kemenangan 3-0 ke atas Cameroon.
Neville melihat Houghton amat penting kepada skuad Lioness untuk mengejar gelaran Piala Dunia di Perancis.
Bekas pemain Man United itu terkenal kerana sering merombak pasukannya dan hanya empat skuadnya daripada 23 pemain telah mengambil bahagian dalam semua empat perlawanan setakat ini.
Houghton dan bek kanan Lucy Bronze yang menjaringkan gol kemenangan menentang Norway pada 2015 merupakan pemain tunggal beraksi setiap minit dan telah membantu England tanpa bolos tiga permainan berturut-turut.
Houghton membuat penampilan pertama pada 2007 tetapi gagal menjulang Piala Dunia di China tahun itu akibat kecederaan. – AFP