BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Untuk menekankan kepentingan sains komputer dalam pendidikan, sekolah tuisyen Edu Champ Academic akan menganjurkan Hour of Code pada awal Disember ini.
Acara berkenaan dibukakan secara percuma kepada orang ramai dengan bermatlamat untuk membolehkan sains komputer diakses dan relevan kepada sesiapa sahaja.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, acara berkenaan akan diadakan di tiga buah cawangan sekolah tuisyen berkenaan di Rimba, Mentiri dan Berakas serta sekolah-sekolah tuisyen lain seperti Sekolah Tuisyen Better Grades di Tanjong Bunut dan Sekolah Tuisyen Berkin di Kiulap dan Serusop.
Sehubungan itu, orang ramai adalah digalakkan untuk menghadirinya dan mengalami pengekodan pertama mereka.
Tidak ada batasan umur ditetapkan, dengan yang demikian seluruh keluarga boleh datang dan mempelajari mengenai pengekodan.
Para peserta hanya perlu membawa peranti elektronik sendiri seperti komputer riba dan tablet, di mana ia akan diadakan dalam dua sesi sehari.
Kenyataan menjelaskan, Hour of Code adalah pergerakan seluruh dunia untuk memperkenalkan sains komputer kepada orang ramai di seluruh dunia menerusi kegiat-an selama sejam.
Kempen berkenaan diadakan pada setiap Disember dan disokong oleh beratus-ratus rakan kongsi antarabangsa.
Merujuk kepada laman sesawang rasmi Hour of Code, lebih 100 juta individu di seluruh dunia akan mencuba Hour of Code dan Edu Champ Academic bermatlamat untuk menambah pelajar-pelajar Brunei kepada bilangan itu.