LONDON, 15 APRIL – Pengurus Newcastle, Eddie Howe, akan terlepas dua perlawanan Liga Perdana Inggeris selepas disahkan menghidap pneumonia.
Howe menyaksikan kemenangan 4-1 skuad The Magpies ke atas Manchester United pada Ahad dari katil hospital selepas dimasukkan ke hospital pada Jumaat berikutan beberapa hari berasa kurang sihat.
Newcastle memaklumkan bahawa jurulatih berusia 47 tahun itu juga akan terlepas aksi menentang Crystal Palace di laman sendiri pada Rabu dan perlawanan menentang Aston Villa pada Sabtu, dengan pembantu jurulatih Jason Tindall dan Graeme Jones akan mengendalikan persiapan pasukan sepanjang ketiadaannya.
“Newcastle United ingin memaklumkan bahawa Eddie Howe sedang menjalani proses pemulihan di hospital selepas disahkan menghidap pneumonia,” kata kenyataan kelab.
“Kelab terus memberikan sokongan dan doa yang terbaik kepada Eddie dan keluarganya sepanjang proses pemulihannya.”
Howe, yang mengucapkan tahniah kepada pasukannya selepas kemenangan bergaya ke atas United yang menyaksikan Newcastle kembali ke kelompok empat teratas, turut menyampaikan penghargaan atas sokongan yang diterimanya. – AFP
