LONDON, 24 APRIL – Pengurus Newcastle United, Eddie Howe kembali menjalankan tugas di pusat latihan kelab tersebut selepas pulih daripada radang paru-paru, menurut kenyataan kelab Liga Perdana Inggeris itu hari ini.
Howe, 47, dimasukkan ke hospital awal bulan ini dan terlepas aksi liga menentang Manchester United, Crystal Palace dan Aston Villa.
“Newcastle United berbesar hati mengesahkan bahawa Eddie Howe telah kembali bertugas di pusat latihan kelab,” menurut kenyataan tersebut.
“Eddie baru-baru ini dimasukkan ke hospital akibat radang paru-paru dan kini telah kembali bekerja selepas melalui tempoh pemulihan.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada para penyokong atas doa dan kiriman ucap selamat mereka.”
Newcastle yang berada di tangga kelima, menewaskan United dan Palace di bawah bimbingan penolong pengurus Jason Tindall, namun tewas teruk kepada Aston Villa.
The Magpies yang menjuarai Piala Liga bulan lalu, akan bertemu pasukan bawahan liga Ipswich pada Sabtu ini dan berharap dapat kembali ke landasan kemenangan dalam usaha mereka merebut slot ke Liga Juara-juara.
Lima pasukan teratas Liga Perdana Inggeris akan layak ke kejohanan kelab utama Eropah musim depan.
Liverpool kini hampir menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris, manakala Arsenal dijangka menamatkan musim di tempat kedua. Namun hanya empat mata memisahkan Manchester City di tempat ketiga dan Aston Villa di tangga ketujuh. – AFP
