Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    HPBS tekankan kolaborasi kemajuan mampan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Hari Perancangan Bandar Sedunia disambut pada setiap 8 November bagi meraikan dan mengiktiraf peranan dan sumbangan para jururancang bandar dalam mewujudkan persekitaran kemajuan mampan dan inklusif bagi menjana kehidupan berkualiti.

    Dalam menghadapi cabaran kemajuan semasa seperti perubahan iklim, pertambahan kependudukan bandar dan impak daripadanya, kepentingan perancangan berasaskan agenda pembangunan mampan yang juga perlu menitik beratkan keperluan dan kemanfaatan manusia menyeluruh (people-cenric) perlu diberi tumpuan utama.

    Jabatan dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, di sinilah letaknya peranan utama Jururancang Bandar Dan Desa yang bukan hanya sekadar merancang guna tanah, akan tetapi perlu menyeimbangkan keperluan manusia dengan keupayaan alam sekitar dalam mewujudkan persekitaran kemajuan yang mampan dan inklusif.

    Usaha ini tidak dapat digerakkan sepenuhnya tanpa sokongan dan penyertaan masyarakat, yang turut memegang tanggungjawab dalam memastikan pembangunan dilaksanakan secara bijaksana dan berdaya tahan.

    GAMBAR SERAHAN TCP

    Di peringkat kebangsaan, Pelancaran Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia akan diadakan pada 10 November 2025 di Kementerian Pembangunan.

    Tema sambutan Collaborating for Sustainable Growth menekankan kepentingan usaha sama dan kolaborasi dengan pelbagai pihak.

    Kemampanan yang inklusif tidak dapat dicapai secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama strategik dan berterusan antara kerajaan, sektor swasta, institusi akademik dan masyarakat.

    Melalui kolaborasi ini, inovasi dapat digalakkan, idea baharu dapat dikongsikan dan penyelesaian mampan dapat dirangka untuk menghadapi cabaran perancangan moden seperti kepesatan kawasan bandar, pengurusan sumber serta peningkatan kos sara hidup.

    Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan hadir menyaksikan pameran yang akan bermula pada 10 November hingga 15 November di ruang legar tingkat satu Kementerian Pembangunan.

    GAMBAR SERAHAN TCP

    Manakala sesi Dialog terbuka juga akan dibukakan kepada orang ramai pada 13 November dan 15 November 2025 pada sebelah petang, di mana pihak awam berkesempatan untuk mendengarkan taklimat berkenaan perancangan guna tanah dan proses kemajuan.

    Semasa sesi konsultasi dengan pihak Jabatan Perancang Bandar dan Desa itu juga akan membukakan peluang kepada awam untuk bertanya untuk mendapatkan nasihat khusus mengenai perkara berkaitan dengan proses kemajuan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda