Thursday, October 3, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    HPC, DotRoot tingkatkan laman WHP

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Kementerian Kesihatan menerusi Pusat Promosi Kesihatan (HPC) menandatangani sebuah kontrak baharu dengan DotRoot Technologies untuk mempertingkatkan laman sesawang Workplace Health Promotion (WHP) dalam majlis yang berlangsung di HPC, hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh HPC, di sini, menyatakan bahawa menandatangani bagi pihak Kementerian Kesihatan ialah Ketua HPC, Dr Siti Rosemawati binti Haji Mohd Yussof, sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HPC, Awang Mohammad Firdey Hazarullah bin Haji Mohd Zain.

    Sementara itu, menandatangani bagi pihak DotRoot Technologies ialah Ketua Pegawai Eksekutif DotRoot Technologies, Awang Muhammad Saufi bin Haji Jamahat, sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Aplikasi, Awang Bob Azrin bin Yakup.

    Laman sesawang WHP merupakan satu inisiatif di bawah kerjasama awam-swasta (PPP) iaitu program usaha sama antara Kementerian Kesihatan dan Gleneagles JPMC.

    Gleneagles JPMC Sdn Bhd telah menyokong HPC sejak 2019 dalam menyediakan dana untuk menyokong program gaya hidup sihat seperti Program Workplace and Health (WAH), Happy Environment and Lifestyle (HEAL) dan Growing, Learning, Optimizing Towards Better Well-Being in Schools (GLOW).

    Dr Siti Rosemawati dan Awang Muhammad Saufi selepas menandatangani kontrak baharu pada majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PUSAT PROMOSI KESIHATAN

    Laman sesawang berkenaan merupakan sebuah platform bagi kakitangan awam untuk mengambil kursus atas talian atau topik mengenai kesihatan dalam bentuk siri video. Para peserta akan menjawab kuiz di akhir kursus dan apabila lulus akan layak untuk mendapatkan penyertaan ke dalam cabutan bertuah.

    Kursus atas talian berkenaan meliputi empat topik utama mengenai faktor risiko gaya hidup sihat termasuk aktiviti fizikal, pemakanan, kesihatan mental dan tembakau. Dengan penambahbaikan laman sesawang berkenaan, HPC berharap ia akan dapat meningkatkan jumlah peserta melengkapkan kursus dan pengalaman serta kepuasan pengguna.

    Laman sesawang WHP juga tersedia bagi sektor swasta yang berhasrat untuk memasukkannya sebagai sebahagian daripada program WHP mereka dan memperkukuhkan lagi program masing-masing. Manfaat daripadanya termasuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan gaya hidup sihat khususnya di tempat kerja sambil menggalakkan aktiviti fizikal untuk menyokong berat badan sihat dan kesejahteraan keseluruhan.

    Di samping itu, sebagai sebahagian daripada perancangan masa depan bagi laman sesawang WHP itu adalah untuk menjadikan kursus berkenaan boleh diakses oleh orang ramai.

    Inisiatif itu dapat membantu menyumbang kepada pengurangan faktor risiko bagi penyakit-penyakit tidak berjangkit di negara ini sambil menyokong visi Kementerian Kesihatan, Bersama Ke Arah Sebuah Negara Sihat serta matlamat kedua Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk mencapai kualiti hidup yang tinggi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda